SHAH ALAM: Penyanyi, Reynald Guntabid mengakui terharu dan terkejut apabila single pertamanya berjudul Lumangad Oku Dika berjaya mara ke pentas akhir Anugerah Juara Lagu ke-40 (AJL40).
Lebih manis, kejayaan tersebut disifatkan Reynald sebagai satu kebanggaan besar bukan sahaja buat dirinya, malah untuk seluruh masyarakat Sabah yang tidak putus-putus memberikan sokongan sejak awal.
Menurut Reynald, penerimaan luar biasa terhadap lagu itu sehingga ke tahap sekarang menjadi bukti bahawa karya berbahasa tempatan juga mampu menembusi pentas berprestij arus perdana.
“Perasaan saya sangat terharu dan juga sangat terkejut. Namun, apa yang paling saya rasakan sekarang adalah sangat bangga kerana lagu ini telah diterima sehingga ke tahap ini dan mendapat sokongan daripada orang Sabah sehingga ke sini juga.
“Itulah perasaan yang paling saya banggakan kerana saya rasa ini bukan sahaja untuk diri saya, tetapi juga untuk semua yang percaya dan menyokong perjalanan saya dari awal,” katanya.
Reynald berkata demikian ketika ditemui selepas program AJL40 SA berlangsung di sini, semalam.
Selain itu, Reynald yang sebelum ini turut mencipta perhatian di Anugerah Industri Muzik (AIM), menganggap kejayaan berturut-turut yang diraih bukan sesuatu yang datang secara kebetulan, sebaliknya rezeki yang perlu dipikul dengan penuh tanggungjawab.
Katanya, dia sentiasa mengingatkan diri agar tidak leka dengan peluang yang diberikan, sebaliknya berusaha memberikan yang terbaik untuk menjaga kepercayaan tersebut.
“Saya selalu beritahu diri saya begini, rezeki itu kalau sudah sampai, walaupun kita tutup pintu dan paku sekalipun, rezeki itu tidak akan lari daripada orang yang sepatutnya menerimanya.
“Jadi sekarang, tanggungjawab saya adalah kerana rezeki itu sudah ada pada saya, saya harus buat yang terbaik supaya rezeki yang telah diberikan itu dapat saya jaga dengan baik,” ujarnya.
Mengulas momen dirinya kelihatan sebak sejurus selesai membuat persembahan, Reynald berkata, emosi itu hadir secara spontan selepas mengenangkan pengorbanan ibu bapanya di Sabah serta harapan besar penyokong yang sentiasa berdiri di belakangnya.
Tambahan pula, dia baru sahaja pulih daripada masalah tonsil yang hampir menjejaskan persembahannya pada malam tersebut.
“Di tengah-tengah lagu itu, saya rasa seperti hampir tidak dapat menyanyikannya kerana saya baru sahaja pulih daripada sakit tekak iaitu tonsil.
“Pada masa sama, saya teringat ibu bapa saya di rumah, kemudian saya teringat semua orang di Sabah yang sudah menaruh harapan serta semua penyokong yang memberikan saya semangat sebelum saya naik ke atas pentas.
“Itulah yang membuatkan saya rasa sebak kerana pada nota tinggi itu saya berjaya mencapainya. Jadi, di hujung lagu itu, emosi saya sudah tidak dapat dikawal lagi dan saya lepaskan sahaja begitu,” katanya.
Ditanya sama ada kemaraan ke AJL40 menjadi satu beban memandangkan dirinya masih dianggap pendatang baharu dan bakal bersaing dengan nama besar industri, Reynald menegaskan perasaan yang lebih tepat adalah gementar, bukannya tekanan.
“Perkataan beban itu kurang sesuai. Ia lebih kepada perasaan gementar. Pagi tadi pun saya sudah gementar kerana mahu menyanyi malam ini.
“Jadi, perasaan gementar itu akan berlarutan sehingga ke peringkat akhir nanti. Berbulan-bulan saya akan rasa begitu dengan perancangan bersama pihak label, persembahan dan segalanya.
“Seperti yang saya katakan, rezeki sudah datang, tanggungjawab saya adalah untuk menjaganya,” katanya.
Dalam masa sama, Reynald mengakui sudah ada perbincangan awal mengenai konsep persembahan yang bakal dibawa ke pentas AJL40, namun semuanya masih di peringkat perancangan santai.
Sementara itu, apabila namanya disebut-sebut sebagai antara calon berpotensi untuk trofi Vokal Terbaik, penyanyi itu mengakui semakin berdebar, apatah lagi bakal berdepan nama besar seperti Marsha Milan dan Aina Abdul.
“Kalau itu rezeki saya, saya terima. Tetapi bukanlah saya mempunyai hasrat untuk menewaskan penyanyi vokal hebat yang lain. Saya cuma mahu buat yang terbaik.
“Menang atau kalah tidak mengapa, yang penting saya tidak mengecewakan diri saya sendiri. Kalau anugerah Vokal Terbaik itu datang kepada saya, saya akan terima juga,” katanya.










