El-Nino: Negeri Sembilan jadualkan semula tanaman padi - Utusan Malaysia

El-Nino: Negeri Sembilan jadualkan semula tanaman padi

BAKRI Sawir (kanan) dan Pengarah FAMA Negeri Sembilan, Shahlan Kusaseh ketika ditemui pemberita pada majlis Hari Bertemu Pelanggan FAMA Negeri Sembilan Sempena Aidilfitri 2023 di Seremban hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan kini bersedia dengan beberapa perancangan bagi berdepan kesan fenomena El-Nino dan cuaca kering kepada sektor pertanian di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Datuk Bakri Sawir berkata, antara perancangan tersebut termasuklah menyediakan bantuan pam air serta menjadualkan semula tanaman padi.

“Setakat ini belum ada laporan petani yang terjejas tetapi kami menjangkakan masa yang akan datang akan ada yang terkesan.

“Saya sudah minta jabatan dan agensi berkaitan untuk ke lapangan dan melihat apa yang boleh kita bantu. Kami akan cuba mengatur gerak aset yang kami ada, jika (petani) memerlukan pam air, kami juga ada pam air yang boleh digunakan.

“Setakat ini masih lagi belum terkesan malah di beberapa tempat ada mengalami hujan. Namun keadaan yang kritikal dijangka sekitar bulan Ogos sehingga September, saya sudah minta agensi berkaitan untuk kita ambil langkah bagi meminimumkan kesan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Hari Bertemu Pelanggan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Negeri Sembilan Sempena Aidilfitri 2023 di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Bakri berkata, pihak Jabatan Pertanian Negeri Sembilan dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Sembilan juga telah diminta untuk mengkaji semula jadual tanaman padi di seluruh negeri ini.

“Saya sudah minta untuk melihat semula jadual penanaman supaya ketika El-Nino betul-betul datang, itu bukanlah waktu padi yang diusahakan betul-betul memerlukan air,” katanya lagi.

Difahamkan tanaman padi di seluruh Negeri Sembilan melibatkan kawasan sawah seluas 1,239 hektar.

Pada 5 Mei lalu, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dilaporkan menyenaraikan lapan negeri yang mudah dipengaruhi fenomena El-Nino yang menyebabkan cuaca kering dan panas melampau iaitu Johor, Pahang, Negeri Sembilan, Melaka, Selangor, Perlis, Kedah, Perak,

Menurut laporan Jabatan Meteorologi Malaysia, kebarangkalian berlakunya El-Nino adalah sekitar 57 peratus pada bulan Jun hingga September 2023 dan meningkat kepada 62 peratus pada September sehingga November 2023.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya