ECRL pemangkin pembangunan Kelantan

ECRL pemangkin pembangunan Kelantan

ANWAR Ibrahim menerima cenderamata daripada Ketua Pegawai Eksekutif MRL, Datuk Seri Darwish Abdul Razak selepas merasmikan pelancaran pembinaan stesen pertama ECRL di Tunjong, Kota Bharu, Kelantan, semalam. – UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) akan menjadi pemangkin kepada pembangunan di negeri-nege­ri di pantai timur khususnya Kelantan yang dianggap terpisah daripada pertumbuhan pesat di Lembah Klang.

Sehubungan itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu kerajaan-kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan bersama-sama memanfaatkan sebaik mungkin peluang dan kemudahan pengangkutan itu untuk membawa pelaburan dan mencetuskan pembangunan baharu.

Anwar berkata, sektor pe­ngangkutan itu bukan sahaja untuk orang ramai dan rakyat, sebaliknya ia juga boleh digunakan untuk mengangkut bahan-bahan pengeluaran, pertanian dan industri.

“Kita lihat, Kelantan khususnya kurang mendapat perhatian kerana tiada pelabuhan di sini. “Jadi, aspek pengangkutan ini dilihat akan memudahkan untuk mengangkut pengeluaran hasil pertanian dan industri selepas ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Pembinaan Ste­sen Pertama ECRL Tunjong di Bandar Baru Tunjong di sini semalam.

Turut hadir, Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob; Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook dan Pengerusi Malaysia Rail Link Sdn. Bhd (MRL), Tan Sri Mohd. Zuki Ali.

Anwar mahu semua pihak terutama kerajaan nege­ri me­lakukan tindakan agresif de­ngan menarik pelabur dengan menjamin beberapa insentif baharu di Kelantan.

Katanya, kerajaan Kelantan juga diharap dapat mempercepatkan kelulusan dalam satu-satu projek yang bakal dijalankan di negeri itu.

“Kita (kerajaan Pusat) men­dapat keluhan daripada pelabur-pelabur dari China yang memaklumkan bahawa proses kelulusan menjadi masalah semasa berunding baru-baru ini.

“Jadi, saya percaya jalinan lebih akrab antara kerajaan Persekutuan dan negeri akan memudahkan pelaksanaan projek sekali gus memberi manfaat kepada Kelantan,” ujarnya.

Sementara itu, Perdana Menteri menafikan dakwaan projek ECRL dimonopoli oleh syarikat dari China.

Katanya, terdapat lebih 2,100 syarikat tempatan terdiri daripada kontraktor, perunding dan pembekal dalam projek itu sejak 2017. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya