Kaji semula komposisi perkhidmatan ECRL, bimbang rakyat Pahang sukar dapat tiket - Utusan Malaysia

Kaji semula komposisi perkhidmatan ECRL, bimbang rakyat Pahang sukar dapat tiket

WAN ROSDY Wan Ismail melihat produk daripada usahawan yang menyertai program Malaysia East Coast Trade and Entrepreneur Expo 2026 di Hotel Grand Darul Makmur di Kuantan, Pahang. - FOTO/SHAIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Kerajaan negeri menyuarakan kebimbangan terhadap cadangan operasi Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang dilihat kurang memberi manfaat kepada penumpang, sekali gus tidak mampu mengurangkan kesesakan trafik di Lebuhraya Karak.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, berdasarkan maklumat yang diterima, operasi ECRL dijangka melibatkan komposisi 70 peratus pengangkutan kargo dan hanya 30 peratus penumpang.

Menurutnya, keadaan itu menimbulkan persoalan sama ada perkhidmatan tersebut benar-benar mampu menjadi alternatif kepada pengguna jalan raya, khususnya rakyat Pahang yang berdepan kesesakan teruk di laluan utama ke Lembah Klang.

“Dengan komposisi 70 peratus kargo dan 30 peratus penumpang, saya lihat ia tidak banyak membantu mengurangkan kesesakan di Lebuhraya Karak.

“Malah, kapasiti penumpang bagi setiap perjalanan juga dianggarkan hanya sekitar 400 orang, dan jumlah itu melibatkan penumpang dari Kelantan, Terengganu serta Pahang,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan penutupan Malaysia East Coast Trade and Entrepreneur Expo 2026 di sini hari ini.

Wan Rosdy menjelaskan, antara kebimbangan utama kerajaan negeri adalah kemungkinan rakyat Pahang sukar mendapatkan tiket kerana laluan tren bermula dari Kota Bharu, Kelantan sebelum melalui Terengganu.

“Apabila tren bermula dari Kelantan, sudah tentu permintaan tinggi di sana, diikuti Terengganu. Apabila sampai ke Pahang, kita bimbang rakyat negeri ini tidak mendapat tempat.

Sebab itu saya suarakan perkara ini lebih awal sebelum rakyat bersuara,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar komposisi perkhidmatan ECRL dikaji semula, termasuk mempertimbangkan nisbah lebih seimbang antara kargo dan penumpang.

“Saya akan mengadakan perbincangan lanjut dengan pihak berkaitan bagi memastikan keperluan rakyat Pahang diambil kira,” katanya.

Mengulas tentang Malaysia East Coast Trade and Entrepreneur Expo 2026, beliau berkata, program berkenaan berjaya menghimpunkan ratusan usahawan daripada pelbagai sektor.

Katanya, penganjuran expo dengan kerjasama Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) itu memberi platform kepada usahawan tempatan memperluas jaringan perniagaan serta mengenal pasti peluang baharu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN