PEKAN: Seorang pegawai polis kanan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan dan isteri maut dalam kejadian kemalangan membabitkan kereta Proton Wira dan Honda City di kilometer 76, Jalan Kuantan-Segamat dekat Paloh Hinai di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3 pagi itu, anggota polis terbabit yang memandu kereta jenis Proton Wira, Syah Lokman Ludza Ramli, 50, dan isteri, Nurulfiza Ardiana Amba, 46, maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah dialami.
Empat anak mangsa, Muhammad Adib, 18, cedera di bahagian pinggang dan rahang; Nur Arissa Safiya, 15, cedera ringan; Muhmammad Aqil, 13, cedera ringan dan Muhammad Akif, 10, patah kaki kiri. Kesemua mangsa dirawat di Hospital Muadzam Shah, Rompin.
Pemandu Honda City, Muhammad Syafiq Ali Ahmad, 26, cedera ringan dan Nur Aqilah Musa, 26, yang mengandung 22 minggu cedera dan dirawat di Hospital Muadzam Shah.
Ketua Polis Pekan, Superintenden Mohd. Zaidi Mat Zin berkata, siasatan awal mendapati, kereta Honda City dari arah Gelang Patah, Johor menghala ke Terenggan manakala Proton Wira dipandu Syah Lokman Ludza dari arah Kuantan menghala ke Jempol, Negeri Sembilan.
“Apabila sampai di tempat kejadian, semasa Honda City bergerak lurus, tiba-tiba Proton Wira yang datang dari arah bertentangan hilang kawalan dan terbabas ke laluan bertentangan.
“Akibat dari kemalangan tersebut, pemandu Proton Wira dan isteri disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. Mangsa lain mengalami kecederaan dan dibawa ke Hospital Muadzam Shah untuk menerima rawatan lanjut.
“Hasil siasatan awal, mendapati kemalangan berlaku di atas kecuaian pemandu Proton Wira yang memasuk laluan bertentangan,” katanya.
Beliau berkata, siasatan diteruskan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – UTUSAN










