PETALING JAYA: Persiapan rapi bagi fasa operasi Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) amat penting bagi memastikan kelancaran pelaksanaan projek berkenaan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau menerima kunjungan Pengerusi China Communications Construction Co. Ltd. (CCCC), Song Hailiang bersama delegasi yang menumpukan kepada kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan projek ECRL.
“Pertemuan ini membincangkan sokongan CCCC terhadap dasar-dasar kerajaan selaras dengan aspirasi Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK-13).
“Ia juga bagi menilai kemajuan semasa projek serta kepentingan memastikan ia dilaksanakan mengikut jadual dan memberi limpahan pembangunan ekonomi kepada industri serta kawasan yang terlibat,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Perdana Menteri berkta, ECRL bukan sekadar projek infrastruktur rel, tetapi merupakan inisiatif strategik negara serta simbol kerjasama dan persahabatan Malaysia–China.
“Projek ini diyakini mampu memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab jaringan dan logistik serantau di Asia Tenggara.
“Seiring kemajuan projek, saya turut menekankan kepentingan semua pihak berkepentingan membuat persiapan rapi bagi fasa operasi ECRL,” katanya. – UTUSAN










