‘Cadangan letak SPRM bawah EAIC tidak berasas’

‘Cadangan letak SPRM bawah EAIC tidak berasas’

JAIS ABDUL KARIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Cadangan supaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diselia Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) dilihat tidak berasas pada masa ini. 

Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata, saranan itu perlu dikaji dengan sangat teliti berdasarkan prestasi dan keadaan semasa.

Katanya, ini kerana banyak aduan salah laku yang melibatkan 21 agensi penguatkuasaan itu pun tidak termampu ditangani dan tersadai kerana perjawatan yang terhad dalam EAIC sekarang ini.

“MCW berpendapat bahawa SPRM perlu berada sebagai entiti berasingan dari EAIC seperti termaktub dalam Akta 700 kerana SPRM akan membantu EAIC dalam siasatan dan akan juga menjadi badan semak dan imbang kuasa EAIC.

“SPRM mesti berdiri sendiri di bawah Perlembagaan negara dan tidak berada di bawah seliaan Parlimen atau kerajaan Malaysia sekalipun bagi mengelakkan ia di salah guna. 

“Perlu difahami betul betul peranan dan fungsi penting SPRM bagi menangani dan mencegah rasuah di Malaysia yang merupakan masalah yang paling serius di negara ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini. 

Semalam, media melaporkan, EAIC mengkaji keperluan memasukkan SPRM sebagai agensi penguatkuasaan di bawah seliaannya. 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, langkah itu antara perkara dibincangkan dalam mesyuarat pertama EAIC, selain meneliti cadangan pindaan kepada Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009 (Akta 700) untuk mengukuhkan EAIC.

Mengulas lanjut, Jais berkata, dalam rangka memastikan SPRM dapat bekerja secara independen dan efektif dalam menjalankan tugasnya, maka pemantauan dan pengawasan dari lima badan pemantau yang ditubuhkan mengikut Akta SPRM 2009 sedia ada sudah mencukupi. 

“SPRM mempunyai bahagian yang khusus untuk kawal selia pegawai SPRM termasuklah unit siasatan dalaman dan sistem pelaporan yang telus kepada Jawatankuasa Aduan (JKA) yang dianggotai oleh masyarakat awam yang berpengalaman. 

“Setakat ini kes salah laku termasuklah kes jenayah dikendalikan sendiri SPRM terhadap pegawai mereka. Ada beberapa kes telah disabit oleh mahkamah dan ada juga kes tatatertib diambil sehingga dibuang kerja,” ujarnya, 

Beliau menambah, MCW ingin mencadangkan agar EAIC dibubar dan semua tugas kawal selia salah laku pegawai penguatkuasa perlu diberikan kepada Unit Integriti (UI) agensi masing-masing yang diberikan kuasa penuh. 

“Pada masa sama diwujudkan JKA seperti di SPRM dalam setiap kementerian yang ada agensi penguatkuasaan untuk tujuan pemantauan. Kes dalaman boleh dikendalikan oleh UI mereka sendiri. UI yang berisiko tinggi mesti diketuai pegawai dari SPRM sendiri.

“Terpenting adalah untuk memastikan agar SPRM terus diberikan kebebasan untuk mengambil tindakan dan keputusan yang diperlukan bagi memerangi rasuah di negara ini dan tidak dipengaruhi oleh tekanan atau campur tangan dari pihak manapun termasuklah pihak kerajaan,” katanya.  -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya