PETALING JAYA: Tabung Kewangan Asia (AMF) disaran memberi peluang kepada bekas penagih dadah yang pulih mendapatkan pinjaman untuk memulakan perniagaan kecil-kecilan.
Setiausaha Agung Majlis Penyalahgunaan Bahan Malaysia (MASAC), Raja Azizan Suhaimi berkata, cadangan tersebut jika menjadi realiti akan membuka peluang pekerjaan kepada bekas penagih lain.
Menurut beliau, stigma majikan yang mempunyai persepsi negatif adalah antara penyebab bekas penagih sukar memohon pekerjaan sehinggakan terpaksa bekerja di sektor yang berpendapatan kecil sedangkan mereka mempunyai pengalaman dan kelayakan.
“Sekiranya AMF membantu bekas penagih untuk menjadi majikan, peluang bekas penagih lain bekerja di entiti korporat atau perusahaan dimiliki oleh komuniti yang sama akan lebih cerah.
“Ini membantu mereka yang sudah berubah mendapat pekerjaan sesuai dengan kelayakan dan pengalaman seterusnya mendapat pendapatan lumayan untuk menyara keluarga masing-masing.
“Pinjaman dengan kadar yang sesuai ini boleh memberikan faedah kepada semua negara Asia dalam mengurangkan kes penagihan dadah berulang dan memberikan mereka ini peluang kehidupan lebih baik atas kesilapan menghisap dadah,” katanya di sini, semalam.
Sementara itu, Raja Azizan berkata, MASAC turut mencadangkan agar kerajaan meminda Akta Profesion pelbagai bidang bagi membolehkan bekas penagih dadah yang berkelulusan dibenarkan mengamalkan profesion mereka selepas bebas dari bahan terlarang tersebut selama lima tahun ke atas.
“Seperti doktor, peguam atau jurutera yang sudah bebas najis dadah lebih 5 tahun dibenarkan kembali beramal atas kelulusan badan yang mengawal profession tersebut.
Sempena Hari Pekerja 2023 ini, kerajaan boleh mula membuat kajian lanjut kepada keberkesanan cadangan ini bagi meningkatkan jumlah tenaga kerja profesional negara,” katanya.
Raja Azizan berkata, kerajaan juga boleh mewujudkan jawatan Penasihat Mahkamah bagi permasalahan dadah di mahkamah seluruh negara bagi mereka yang dituduh kali pertama kes berkaitan dadah diambil dari kalangan bekas pelbagai profesion.
“Ini untuk membantu menasihati mahkamah akan hukuman yang sesuai dalam kes dadah agar ia mampu memberikan impak lebih baik seperti kesan kebaikan Penasihat Mahkamah bagi Kanak-Kanak sempena Hari Pekerja tahun 2023 ini,” jelasnya.
Tambahnya, MASAC turut menyeru kerajaan mewujudkan satu skim subsidi sebanyak RM100 yang dibayar kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) setiap bulan kepada majikan yang menggajikan bekas penagih dadah.
“Skim subsidi rahmah pekerja dadah ini hanya terbuka kepada pesalah dadah kali pertama sahaja agar mereka mampu diberikan peluang menjana pendapatan yang baik selepas berjaya pulih dari permasalahan dadah mereka,” ujarnya. – UTUSAN










