BACHOK: Hasrat seorang anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) untuk mengikat tali pertunangan dengan wanita pilihannya tidak kesampaian apabila meninggal dunia semalam selepas dipatuk ular tedung Ahad lalu.
Lans Koperal Mohd. Idris Abdul Samad, 34, menghembuskan nafas terakhirnya pukul 9.30 pagi semasa menerima rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia Kubang Kerian.
Mangsa dipatuk semasa memindahkan reptilia itu dari guni ke sangkar.
Ibu mangsa, Noriah Awang, 68, berkata, anak ketiga daripada lima beradik itu dijangka bertunang pada Hari Raya Aidiladha.
“Saya hanya bersetuju dengan pilihannya itu kerana dia (arwah) sudah mengenali bakal tunangnya yang berniaga sendiri di Johor namun hasrat tersebut tidak kesampaian apabila dia terlebih dahulu dijemput Ilahi,” katanya ketika ditemui pemberita di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kemasin di sini semalam.
Sementara itu, Pengarah APM Kelantan, Mohd. Adzhar Mujab berkata, mangsa dipatuk ular tedung senduk di celah ibu jari kanan. – UTUSAN










