Tidak ambil dos penggalak punca kes Covid-19 naik

Tidak ambil dos penggalak punca kes Covid-19 naik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pengambilan dos penggalak vaksin Covid-19 yang tidak mendapat sambutan dalam kalangan rakyat menjadi antara faktor peningkatan kes penyakit itu di Malaysia kebelakangan ini.

Data sehingga 11 April 2023 menunjukkan, hanya 50 peratus iaitu 16,325,561 penduduk Malaysia mengambil dos penggalak pertama manakala hanya 2.5 peratus iaitu seramai 818,420 sahaja menerima suntikan dos penggalak kedua.

Berikutan sambutan yang di­ngin itu, kadar keberkesanan atau imuniti dos penggalak pertama semakin berkurang sekali gus menjadi antara faktor peningkatan kes Covid-19.

Pakar Kesihatan Komuniti Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Sharifa Ezat Wan Puteh berkata, tidak ramai rakyat Malaysia mengambil dos penggalak terutama dos penggalak kedua selepas melihat keadaan kelihatan semakin pulih dan kembali seperti biasa.

“Justeru, memang ada kemungkinan keberkesanan vaksin itu semakin berkurang selepas lebih enam bulan pengambilan dos terakhir.

“Bagaimanapun, saya tidak anggap ini sebagai indikasi untuk Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan semula. Kita hanya perlu terus mengikut prosedur operasi standard (SOP),” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Menurut Wan Sharifa, kebimbangan beliau adalah melibatkan golongan yang berisiko kerana mempunyai antibodi yang lemah.

“Individu-individu yang berisiko patut mempertimbangkan pengambilan dos penggalak ke­dua. Mereka ini berisiko mendapat komplikasi sekiranya dijangkiti Covid-19.

“Terbaharu, kita dapat tahu, varian Omicron itu mampu bermutasi dan mengelak antibodi kita dan membuatkan simptom yang dialami lebih teruk dan bahaya,” katanya.

Pada 13 April lalu, Menteri Ke­sihatan, Dr. Zaliha Mustafa mengumumkan bermula awal bulan ini jumlah kemasukan pesakit Covid-19 ke hospital meningkat sebanyak 17.6% berbanding Mac lalu.

Beliau menggalakkan orang ramai terutama individu berisiko tinggi mendapatkan dos penggalak kedua disebabkan berlaku penurunan imuniti dalam tempoh tiga hingga enam bulan selepas daripada dos terakhir diambil.

Sementara itu, Presiden Persatuan Hospital Swasta Malaysia, Dr. Kuljit Singh berkata, walaupun terdapat peningkatan, kes-kes Covid-19 itu tidak serius dan tidak melibatkan kemasukan ke unit rawatan rapi (ICU) dalam jumlah besar.

“Peningkatan kes ini berlaku kerana lebih ramai kini yang tidak lagi mengikut SOP terutama memakai pelitup muka di kawasan tertutup.

“Ini bukanlah satu kesalahan tetapi menjelang Aidilfitri ini, ada baiknya untuk mengambil langkah berjaga-jaga.

“Kita ada ubat paxlovid untuk merawat Covid-19 tetapi ia diberikan mengikut kesesuaian pakar juga. Walaupun ada ubat ini, kita tidak boleh sambil lewa dalam menjaga keselamatan diri,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×