Tetapkan jumlah guru diperlukan - Utusan Malaysia

Tetapkan jumlah guru diperlukan

NUTP meminta Kementerian Pendidikan membuat unjuran keperluan guru secara konsisten. - Gambar Hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kementerian Pendidikan perlu membuat ketetapan mengenai jumlah guru yang diperlukan dalam sistem pendidikan negara bagi mengelakkan pengambilan secara tergesa-gesa termasuk mengambil guru bukan daripada disiplin pendidikan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Fouzi Singon berkata, tindakan mengambil guru secara tergesa-gesa berlaku seperti pada tahun 2021 apabila Kementerian Pendidikan mengumumkan pengambilan 18,702 pegawai pendidikan gred DG41 secara ‘one off’.

Menurut beliau, perkara sama berulang pada awal bulan ini apabila Kementerian Pendidikan sekali lagi mengumumkan akan melakukan pengambilan khas seramai 19,431 guru bagi menampung kekurangan tenaga pengajar.

Oleh itu, kata beliau, Kementerian Pendidikan perlu membuat unjuran secara konsisten mengenai keperluan guru yang mahu diambil bagi mengelakkan lantikan secara tergesa-gesa sehingga terdapat kalangan lantikan tidak memenuhi profesional perguruan seperti digariskan dalam Standard Guru Malaysia (SGM).

Kata Fouzi, pihaknya sudah banyak kali mencadangkan supaya Kementerian Pendidikan membuat unjuran pengambilan guru contoh untuk tempoh lima tahun, namun kementerian memaklumkan mereka tiada data berhubung keperluan tersebut.

GRADUAN

Menurut beliau, unjuran keperluan guru penting bagi memastikan setiap pihak khususnya institusi pengajian tinggi (IPT) bersedia untuk melahirkan graduan pendidikan mencukupi untuk menampung jumlah pendidik ekoran penambahan murid dan sekolah setiap tahun.

Katanya, kegagalan berbuat demikian menyebabkan hampir setiap tahun berlaku pengambilan guru seperti tergesa-gesa bagi mengatasi masalah kekurangan guru.

“Kerana tergesa-gesa antara yang diambil termasuk kalangan bukan latar belakang graduan ijazah sarjana muda pendidikan. Segelintir yang diambil akhirnya didapati tidak mencapai tahap profesionalisme seorang guru.

“Misalnya pada tahun 2021, Kementerian Pendidikan mengumumkan pengambilan 18,702 pegawai pendidikan gred DG41 secara ‘one off’ untuk mengatasi kekurangan guru di negara ini. Masalahnya, ia terbuka kepada guru termasuk bukan daripada latar belakang graduan pendidikan.

“Maka ramailah tidak mempunyai asas pendidik mengajar, memohon dan diterima. Akhirnya berdasarkan maklumat diterima NUTP, banyak guru diambil tiada kualiti dan mereka gagal memberikan komitmen sebagai warga pendidik, sekali gus memberi kesan kemenjadian murid dan pelajar sewaktu sesi pengajaran dan pengajaran (PdP) dalam kelas,” katanya.

PENGAMBILAN

Pada 1 April lalu, Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying berkata, Kementerian Pendidikan akan mengadakan pengambilan khas guru baharu dalam tempoh terdekat bagi mengatasi kekurangan tenaga pengajar bagi beberapa subjek teras.

Kekurangan guru ketika ini kira-kira 4.49 peratus atau 19,431 orang daripada 413,600 jumlah tenaga pengajar sedia ada ketika ini.

Mengulas lanjut, Fauzi berkata, kerajaan perlu mengambil kira jangkaan guru bakal bersara, pertambahan murid dan pembinaan sekolah baharu bagi mengelakkan tindakan sembrono dalam melakukan pengambilan tanpa menilai keupayaan dan latar belakang masing-masing.

“Jika lima tahun lagi kita perlukan 400,000 guru, kerajaan boleh bersedia lebih awal daripada sudut peruntukan kewangan dan latihan guru yang mengambil masa empat hingga lima tahun,” katanya.

Selain itu, Fouzi mengakui Kementerian Pendidikan berdepan isu kekurangan guru termasuk melibatkan subjek penting seperti Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris Pendidikan Islam dan Sejarah sehingga menyebabkan terdapat warga pendidik terpaksa mengajar bukan daripada opsyen bidang mereka.

MEMFOKUSKAN

Katanya, perkara itu disebabkan kerajaan selama ini hanya memfokuskan pengambilan guru mata pelajaran Sains dan Matematik tanpa melihat keperluan subjek lain.

“Tindakan ini menyebabkan guru bukan opsyen mengajar mata pelajaran bukan bidang mereka. Misalnya guru Bahasa Melayu terpaksa mengajar Sejarah, akhirnya jejas kualiti PdP dan kemenjadian murid.

“Pihak sekolah terpaksa kerana jika tidak, murid atau pelajar tidak belajar kerana tiada guru,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau melihat unjuran dan perancangan menjadi keperluan penting untuk menangani kekurangan guru yang berlaku pada kali sesi persekolahan dibuka.

Mengulas bilangan murid yang ideal bagi sesebuah kelas, Fouzi berkata, jumlah yang sesuai adalah antara 20 hingga 25 orang namun lebih baik jika kurang daripada 20 murid seperti dilakukan negara lain.

Sebaliknya kata beliau, perkara itu hanya boleh terlaksana jika masalah kekurangan guru dan kelas dapat diatasi terlebih dahulu berbanding idea satu guru, 20 murid.

Katanya, jumlah murid dalam sebuah kelas di sekolah masih belum menepati bilangan murid yang ideal bagi sesebuah kelas iaitu antara 20 hingga 25 orang kerana kurang guru yang bukan sahaja berlaku di luar bandar, tetapi dalam bandar.

“Ada kelas lebih 25 murid, malah pernah sehingga 27 murid. Ini berlaku kerana kelas tidak mencukupi di samping kepadatan penduduk berhampiran kawasan sekolah.

“Selain itu, kurang guru. Tidak guna jika mahu kelas ada 20-25 murid, tetapi guru pula tidak mencukupi,” ujar beliau. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×