PEKAN: Keputusan sama ada Tasik Chini kekal sebagai Rizab Biosfera (BR) akan diketahui bulan ini selepas semakan berkala pertama Pertubuhan Pendidikan Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO) pada September 2021 mendapati tasik itu tidak lagi memenuhi kriteria Rangkaian Rizab Biosfera Dunia (WNBR).
Difahamkan UNESCO memberi tempoh sehingga 30 September tahun lalu untuk Malaysia menyerahkan pelan baik pulih dan menambah baik Tasik Chini yang diisytiharkan BR pada 2009.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, sumber berkata, Majlis Penyelarasan Antarabangsa UNESCO di bawah program manusia dan biosfera (MAB) akan bermesyuarat di Paris untuk menentukan status Tasik Chini.
“Saya difahamkan keputusan (kekal atau ditarik balik) status BR Tasik Chini akan diketahui dalam masa terdekat, mungkin juga esok,” katanya di sini semalam.
Menurut semakan berkala pertama UNESCO Tasik Chini tidak lagi memenuhi kriteria WNBR.
Laporan itu menyebut ‘kawasan hutan yang baru dibersihkan dengan penukaran tanah yang intensif’ berlaku, selain mengesan pembukaan semula lombong lama di sekitarnya.
Setahun selepas rizab biosfera ditetapkan, beberapa bekas tapak perlombongan di titik kecerunan tinggi (Bukit Ketaya dan Bukit Chini) dibuka semula dan berkembang mengakibatkan kesan buruk alam sekitar seperti pemendapan, kemerosotan kualiti air dan kemerosotan tebing sungai.
Punca utama kerosakan alam sekitar ialah penukaran guna tanah daripada ladang getah dan kawasan hutan kepada ladang kelapa sawit. Sebahagiannya berlaku dalam kawasan teras utama.
Penemuan itu dibentangkan dalam Majlis Penyelarasan Antarabangsa UNESCO di bawah program MAB pada September 2021, tetapi diterbitkan untuk akses awam dua bulan kemudian.
Pada 27 Julai lalu, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi negeri waktu itu, Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsudin berkata, kerajaan negeri sudah menghantar laporan yang diperlukan bagi mengekalkan status Tasik Chini. – UTUSAN










