Sogokan ikut hobi penjawat awam - Utusan Malaysia

Sogokan ikut hobi penjawat awam

Rasuah boleh dalam pelbagai bentuk dan pemberi biasanya menyelidik latar belakang penjawat awam yang mahu dirasuah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Rasuah boleh berlaku dalam pelbagai bentuk termasuk tawaran berdasarkan hobi seperti bermain golf, berkaraoke, bercuti atau menghadiahkan tanah-tanah lot kepada penjawat awam yang memenuhi kepentingan pemberi.

Pemberi selalu menyelidik kegemaran penjawat awam yang diperlukan untuk menjadi mudah cara kepada kepentingan mereka.

Sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendedahkan kepada Utusan Malaysia, perlakuan rasuah mudah berlaku membabitkan kakitangan kerajaan yang ditugaskan di bahagian perolehan atau jabatan-jabatan sensitif kerajaan terutamanya agensi penguatkuasaan yang bertugas menjaga pintu masuk negara.

Bagaimanapun, sebelum menawarkan rasuah, pemberi akan mengkaji setiap sistem yang ada selain turut memeriksa latar belakang atau sikap penjawat awam yang bertugas untuk memastikan mereka boleh `diuruskan’.

“Pemberian rasuah bukan sahaja melibatkan wang tetapi pelbagai cara digunakan pemberi rasuah sebelum agenda seterusnya diteruskan.

“Mereka (perasuah) ini selidik apa disukai penjawat awam itu, termasuk hobi. Jika suka berhibur, penjawat awam ini akan disogok pelbagai aktiviti hiburan seperti karaoke bersama wanita. Jika suka main golf, mereka diajak melakukan aktiviti itu dan beli sekali set golf,” kata sumber.

DISIASAT

Kata sumber, terdapat juga kes-kes yang disiasat SPRM mendapati penjawat awam ‘dihadiahkan’ dengan rumah, jam, kereta atau  tanah dengan aset berkenaan diletakkan di atas nama proksi seperti keluarga, saudara mara terdekat.

“Selain itu, antara taktik biasa digunakan yang dikesan SPRM adalah dengan menaja percutian sama ada menghadiahkan tiket penerbangan atau penginapan di hotel-hotel mewah.

“Apabila penjawat awam ini sudah rasa terikat atau terhutang budi, mula mereka ini akan ‘menolong’ bagi memudahkan urusan tertentu dan seterusnya perlakuan rasuah berlakulah,” kata sumber.

Bagaimanapun, sumber itu memberitahu, kes-kes rasuah yang biasa dan banyak berlaku kebelakangan ini berkaitan kemasukan pekerja asing dalam sektor kotor, berbahaya dan sukar (3D) yang sedang menjadi keperluan mendesak majikan.

Warga tempatan tidak berminat bekerja dalam sektor 3D seperti perladangan, pertanian, pembuatan dan pembangunan menyebabkan majikan sangat bergantung kepada buruh warga asing.

PROSES

Bagaimanapun, sumber berkata, dengan pelbagai proses dan ditambah birokrasi untuk membawa masuk pekerja asing, majikan yang terdesak akan mencari jalan pintas untuk melancarkan urusan pengambilan tenaga kerja.

Mengikut kajian terbaharu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), kes-kes rasuah yang banyak direkodkan membabitkan penjawat awam membabitkan kalangan mereka yang menguruskan kemasukan pekerja asing dalam sektor 3D.

“Kajian mendapati kakitangan tersebut mudah ‘dibeli’ oleh individu, sindiket atau mana-mana golongan yang sangat memerlukan pekerja asing,” kata sumber itu.

Sebagai rekod, sejak 2016 hingga Februari lalu, data SPRM menunjukkan kira-kira 3,118 penjawat awam ditahan dalam tempoh tujuh tahun tersebut bagi siasatan berkaitan rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa.

Daripada Jumlah itu, penjawat awam yang bertugas di bahagian sokongan dikesan paling ramai ditahan sekali gus dilihat lebih mudah terlibat dan terdedah dalam kes-kes rasuah.

PENJAWAT AWAM

Data dijejak menerusi laman rasmi SPRM mendapati, sebanyak 2,209 individu adalah penjawat awam di bahagian sokongan diikuti mereka yang bertugas di bahagian pengurusan dan profesional iaitu 842 tangkapan.

Bagi pengurusan tertinggi awam, terdapat 68 tangkapan direkodkan. Data-data tersebut boleh dilihat orang awam selepas dimuat naik SPRM sebagai rujukan awam.

Minggu lalu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya berkata, kebanjiran pendatang asing tanpa izin (PATI), pekerja dan pelajar asing di negara ini dilihat sebagai peluang besar kepada segelintir penguat kuasa yang tidak berintegriti untuk mengaut rasuah di negara ini.

Menurut Ahmad Khusairi, tidak kira sama ada mereka ini mempunyai permit kerja, visa pelajar apatah lagi ‘kosong’ tanpa permit dan berstatus PATI, kumpulan ini sering menjadi sasaran penguat kuasa.

Kata orang nombor dua SPRM itu, tahap korupsi anggota penguat kuasa selaku barisan hadapan keselamatan negara dilabel semakin kronik dan membimbangkan. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN