Sanusi yang bermasalah - Fahmi Fadzil

Sanusi yang bermasalah – Fahmi Fadzil

FAHMI FADZIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kritikan Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor terhadap penganjuran Majlis Rumah Terbuka Malaysia Madani menunjukkan Menteri Besar Kedah itu yang bermasalah kerana isu itu tidak berbangkit di negeri-negeri lain.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil berkata, ini termasuk di dua negeri yang turut diterajui Perikatan Nasional (PN) iaitu Terengganu dan Kelantan yang sedia memberi kerjasama menjayakan program itu.

Beliau berkata, program pertama kali diadakan di luar Kompleks Seri Perdana, Putrajaya itu adalah majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri dan tiada kaitan dengan strategi pilihan raya negeri (PRN) seperti didakwa.

KOMITMEN

“Penganjuran Majlis Rumah Terbuka Malaysia Madani tiada isu, jika tidak kenapa kerajaan negeri iaitu Kelantan dan Terengganu mengalu-alukan serta memberi komitmen untuk sedia bekerjasama.

“Kena tanya Muhammad Sanusi kenapa bangkitkan isu ini. Beliau yang lihat penganjuran majlis tersebut sebagai masalah dan tidak ada pihak lain berpendapat sama. Ini untuk sambut Aidilfitri, takkan itu tidak boleh,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Terdahulu, akhbar ini melaporkan, majlis rumah terbuka yang setiap tahun dianjurkan oleh Perdana Menteri di Putrajaya membawa sedikit kelainan apabila penganjurannya dibuat di enam negeri berbeza iaitu Kedah, Terengganu, Kelantan, Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan.

Muhammad Sanusi yang juga Pengarah Pilihan Raya Pas dilaporkan menganggap majlis tersebut sebagai program PRN dan tidak wajar diadakan, sebaliknya wajar diadakan seperti kelaziman sebelum ini.

Bagaimanapun, pandangan berbeza diberi Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob dan Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar apabila masing-masing dilaporkan menyokong penganjuran majlis tersebut.

Perdana Menteri turut menegaskan program anjuran Jabatan Perdana Menteri melalui Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) tiada kaitan dengan PRN.

Fahmi yang juga Menteri Komunikasi dan Digital berkata, sekiranya majlis yang dianjurkan kerajaan Persekutuan ‘adalah masalah’ seperti mana dianggap oleh Muhammad Sanusi, lima negeri lain pasti turut sama mengkritik.

“Saya tidak tahu kenapa hanya Kedah sahaja berasa seperti itu. Walhal, jika benar ia menjadi isu dua negeri lagi atau kesemua enam negeri akan bangkitkan rasa tidak puas hati dan pandangan berbeza tetapi kita lihat hanya Muhammad Sanusi seorang sahaja.

“Jadi mungkin di situ kita lihat masalah itu pada Muhammad Sanusi sendiri. Bagi saya, Majlis Rumah Terbuka Malaysia Madani merupakan peluang untuk menyambut Aidilfitri secara bersama,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN