PRN serentak, kerajaan boleh jimat RM100 juta - Utusan Malaysia

PRN serentak, kerajaan boleh jimat RM100 juta

Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan boleh jimat sehingga RM100 juta jika enam negeri sepakat membu­barkan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi melaksanakan Pilihan Raya Negeri (PRN) serentak berbanding diadakan berasi­ngan yang akan menelan kos sehingga RM500 juta.

Enam negeri yang bakal terlibat dalam PRN pada tahun ini ialah Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, bekas Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar berkata, jika enam negeri itu bersetuju PRN serentak, kos­nya cuma RM400 juta berbanding diadakan berasingan RM500 juta.

Menurut beliau, SPR mempunyai ruang untuk melaksanakan PRN bagi enam DUN secara serentak pada Julai sekiranya kesemua sepakat membubarkan pada minggu akhir Jun.

Katanya, pelaksanaan PRN serentak itu tetap boleh dijalankan walaupun tarikh pembubaran tidak sama, tetapi ia perlu berlaku dalam minggu yang sama.

HAYAT

“PRN bagi enam negeri itu perlu diadakan pada tahun ini, memandangkan tempoh hayat setiap DUN terlibat akan tamat antara 26 Jun hingga 2 Ogos tahun ini.

“Jika pembubaran tidak berlaku lebih awal, maka enam DUN berkenan akan terbubar dengan sendirinya apabila tamat tempoh hayat DUN ma­sing-masing,” katanya di sini semalam.

Februari lalu, enam Menteri Besar di Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu sepakat dan membuat ketetapan membubar DUN masing-masing pada Jun ini.

Bagaimanapun, keputusan politik boleh berubah pada bila-bila masa dan mungkin kesepakatan terdahulu yang dicapai berlaku sebaliknya.

Menurut Wan Ahmad, adalah satu langkah bijak dan terbaik jika kerajaan di enam negeri terlibat dapat mencari kesepakatan untuk bersatu tekad memberi ruang kepada SPR menjalankan proses demokrasi tersebut serentak di mana hari pencalonan dan hari pengundian berlaku pada tarikh sama.

Katanya, tindakan membubarkan DUN serentak atau dalam minggu sama boleh memberi ruang kepada SPR menetapkan mesyuarat khas pada satu tarikh bagi menetapkan hari-hari penting untuk menjalankan proses pilihan raya.

BEZA

“Bagi Selangor, Kelantan, Terengganu, Negeri Sembilan dan Kedah, jika pembubaran berlaku minggu terakhir Jun, ia amat bersesuaian kerana beza tarikh-tarikh tamat hayat lima DUN di negeri-negeri berkenaan hanya kira-kira satu minggu, iaitu 26 Jun hingga 4 Julai.

“Hanya DUN Pulau Pinang tempoh hayat adalah pada 2 Ogos atau satu bulan lewat dari lima DUN yang lain. Apapun, DUN negeri ini bila-bila masa boleh dibubar lebih awal agar pelaksanaan PRN dapat dibuat serentak dengan lima negeri lain,” katanya.

Untuk rekod, tamat hayat enam DUN terlibat ialah Selangor (26 Jun), Kelantan (28 Jun), Terengganu (1 Julai), Negeri Sembilan (2 Julai), Kedah (4 Julai) dan P.Pinang (2 Ogos).

Menurut Wan Ahmad, tanggungjawab dan tugasan menjalankan proses demokrasi bukan hanya di bahu SPR, tetapi pelbagai jabatan dan agensi lain turut terlibat bermakna seluruh jentera kerajaan terikat membantu SPR untuk men­jaya­kan pilihan raya.

“Bayangkan jika enam PRN tidak dilaksanakan serentak, bukan sahaja SPR tetapi semua jabatan dan agensi lain yang terlibat terpaksa menjalankan kerja yang sama berulang kali. Tidakkah itu pembaziran masa, tenaga dan wang.

“Justeru, saya berharap ke­ra­jaan di enam negeri terlibat wajar lupakan ego politik yang merugikan rakyat dan negara, seterusnya pada masa sama SPR dapat mengelak pembaziran masa, tenaga dan wang negara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×