PETALING JAYA: Malaysia tidak akan membenarkan mana-mana kuasa besar untuk membuat keputusan dan menentukan hala tuju masa depannya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, Malaysia yang bebas dan merdeka akan mempertahankan kedaulatannya serta menentukan perkara terbaik untuk negara.
“Tiada siapa yang harus menentukan hala tuju kita, sebagai negara yang bebas dan merdeka, kita akan memutuskan apa yang terbaik untuk kita.
“Kita juga harus mengekalkan kedudukan ini dalam ASEAN, kerana ASEAN ditubuhkan sebagai zon bebas dan berkecuali,” katanya ketika menjawab soalan mengenai persaingan China-Amerika Syarikat (AS) semasa syarahan umum di Universiti Tsinghua, China, semalam.
Perdana Menteri yang dalam lawatan rasmi ke negara itu berkata, Malaysia mahu membina hubungan baik dengan semua negara, termasuk China dan AS.
Beliau berkata, Malaysia tidak melihat China sebagai pesaing mahupun ancaman walaupun mungkin terdapat beberapa perselisihan faham antara kedua-dua negara.
“Memandangkan tiada ancaman langsung dari China, kami gembira menjadi jiran yang baik, kawan dan mendapat manfaat daripada kejayaan mereka,” katanya.
Anwar berkata, China dan AS juga perlu memahami bahawa hubungan diplomasi antarabangsa yang dinamik hari ini telah berubah dan konflik Rusia-Ukraine yang berterusan menjejaskan seluruh dunia.
“Zaman penjajahan dan imperialisme baharu telah berlalu. Tiada negara boleh menentukan. Rakyat mahu menuntut kebebasan dan memutuskan apa yang terbaik untuk diri dan negara mereka,” katanya.
Dalam syarahan sama, Anwar mengalu-alukan inisiatif Presiden China, Xi Jinping untuk berkongsi kekayaan dan pembangunan melalui Inisiatif Jalur Sutra Baru (BRI).
Menurutnya, China kini di depan dan telah melakukan yang terbaik berbanding negara-negara di Eropah.
“Pemimpin dan negara mesti bergerak ke depan mendepani creative destruction dan tidak boleh kita teruskan etika yang lama dan usang untuk mempaculkan sistem dan budaya baharu,” katanya.
Anwar turut mengadakan pertemuan bersama Xi Jinping di Great Hall, Beijing, China.
Pertemuan itu membincangkan langkah-langkah konkrit yang boleh diambil Malaysia dan China, antaranya dalam bidang perdagangan dan kerjasama politik.
Beliau berkata, ia melibatkan pelaburan dan perdagangan kedua-dua negara, serta kerjasama dalam sektor pendidikan melibatkan universiti.
“Esok, saya akan umumkan selepas bertemu dengan Presiden China dan Perdana Menteri China, Li Qiang, esok (hari ini), kemajuan besar berkaitan hubungan dua hala Malaysia dan China,” katanya. – UTUSAN










