SHAH ALAM: Keputusan permohonan pengampunan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak terletak pada budi bicara Yang di-Pertuan Agong.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, walaupun berada dalam Lembaga Pengampunan tersebut, beliau tidak mempunyai konflik kepentingan kerana keputusan muktamad memberi pengampunan di bawah Seri Paduka.
Katanya, adalah terlalu awal untuk mengulas permohonan pengampunan Najib kerana baru kelmarin UMNO memohon Agong mempertimbangkannya.
“Tiada konflik kepentingan (di pihak saya). Proses (pengampunan) perlu diikuti dan keputusan muktamad adalah atas budi bicara Agong,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan program Kita-Untuk-Kita (K2K) di sini, semalam.
Kelmarin, Setiausaha Agung UMNO, Asyraf Wajdi Dusuki mengesahkan parti itu telah memohon Seri Paduka mempertimbangkan untuk memberi pengampunan kepada Najib.
Dalam satu kenyataan, beliau berkata, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO akan memohon menghadap bagi mempersembahkan memorandum berhubung perkara itu.
Najib mula menjalani hukuman penjara 12 tahun pada 23 Ogos 2022, selepas didapati bersalah atas kesalahan pecah amanah, salah guna kuasa dan pengubahan wang berhubung RM42 juta dana SRC.
Dalam pada itu, Anwar membidas kenyataan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mendakwanya cuai mengeluarkan kenyataan berhubung projek carigali Petronas di Laut China Selatan di Dewan Rakyat, Selasa lalu.
Katanya, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu tidak membaca kenyataan penuhnya berhubung perkara tersebut sambil membuat andaian sendiri.
“Muhyiddin tak baca kenyataan itu yang mana saya cakap, kita akan teruskan projek carigali Petronas itu, noktah.
“Tak ada langsung saya sebut nak tolak ansur (dengan kerajaan China) dan saya sampaikan mesej ini kepada pemimpin kerajaan China yang beliau (Muhyiddin) tidak sampaikan (ketika menjadi Perdana Menteri),” katanya.
Sementara itu, Anwar turut mengumumkan kerajaan meluluskan peruntukan RM35 juta bagi membaiki kira-kira 10 Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Kuala Lumpur dan Selangor.
Beliau turut memberitahu, Pelan Pembangunan Kuala Lumpur ditangguhkan sehingga akhir Mei bagi membolehkan lebih banyak input diperoleh daripada pelbagai pihak. – UTUSAN










