KOTA KINABALU: Penantian selama 47 tahun agar laporan tragedi Double Six didedahkan kepada umum akhirnya berakhir.
Itu luahan Datuk Donald Peter Mojuntin iaitu anak kepada salah seorang mangsa terkorban dalam nahas pesawat di Sabah pada 6 Jun 1976.
Beliau berkata, pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyatakan laporan penuh tragedi Double Six akan didedahkan kepada umum amat dinanti-nantikan oleh rakyat Sabah.
“Saya percaya pengumuman itu memberi kelegaan kepada rakyat Sabah. Ia satu pengumuman yang amat dinanti-nantikan oleh keluarga mangsa yang telah menunggu selama 47 tahun untuk laporan itu didedahkan.
“Penantian yang sekian lama kini berakhir,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, diharap keputusan kabinet persekutuan itu akan menghentikan segala ketidakpastian dan teori konspirasi yang dibangkitkan selama lebih empat dekad.
“Kini, kita boleh menutup sepenuhnya tragedi yang mengorbankan 11 nyawa termasuk Ketua Menteri Sabah ketika itu, Tun Fuad Stephens,” katanya.
Timbalan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) itu berkata, beliau ingin melahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri dan kabinet kerajaan persekutuan kerana membuat keputusan yang betul.
Keputusan itu menunjukkan Perdana Menteri mengotakan janji untuk bersifat lebih telus dan terbuka dalam pemerintahan kerajaan perpaduan.
Dengan keputusan bersejarah ini, keluarga mendiang Datuk Peter J. Mojuntin berharap kabinet persekutuan akan menarik semula larangan penerbitan dan agihan buku bertajuk ‘The Golden Son of the Kadazan’.
Buku itu akan membolehkan rakyat Sabah mengenali Peter Mojuntin sebagai pemimpin politik di Sabah. Ini sebuah buku yang memberi inspirasi dan perlu dikongsikan kepada rakyat.
Semalam, Perdana Menteri mengumumkan kerajaan akan mendedahkan laporan penuh kemalangan pesawat udara tragedi Double Six yang berlaku pada 6 Jun 1976 kerana ia menimbulkan banyak persoalan dan keresahan pelbagai pihak terutama rakyat Sabah.
Tragedi Double Six adalah nahas pesawat Nomad 9M-ATZ keluaran Australia yang berlaku pada 6 Jun 1976 di Kota Kinabalu. Tragedi itu mengorbankan Ketua Menteri Sabah, Tun Fuad Stephens, empat menteri Sabah dan enam individu lain.
Pesawat berkenaan terhempas di Sembulan ketika dalam perjalanan dari Labuan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu. – UTUSAN










