Pemimpin UMNO jangan harap balasan

Pemimpin UMNO jangan harap balasan

JOHARI ABDUL GHANI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pemimpin UMNO yang berjuang memulihkan parti tidak boleh mengharapkan manfaat atau balasan sepanjang tempoh perkhidmatan mereka.

Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, perjuangan mereka hanya dapat dinikmati generasi akan datang atau dalam kalangan orang muda yang menyokong parti.

Katanya, mereka yang dipilih akar umbi itu perlu mencontohi sikap dan semangat pemimpin terdahulu ketika berjuang mendapatkan kemerdekaan.

“Saya fikir apa yang berlaku (ditolak ketika Pilihan Raya Umum Ke-15) adalah disebabkan setback (kekecewaan) kita. Jadi kita perlu perbetulkan semula setback itu, InsyaAllah masa depan UMNO pulih, kalau tidak tahun 2027, mungkin 2032.

“Yang penting sesiapa yang jadi pemimpin perlu berjuang membawa kebaikan kepada generasi akan datang. Saya dan barisan kepemimpinan sekarang mungkin tidak akan dapat manfaatnya kerana ia akan diberi kepada generasi muda hari ini yang berumur 20 tahun ,” katanya dalam wawancara baru-baru ini.

Beliau diminta mengulas kekalahan UMNO dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 ( PRU15) apabila hanya memperoleh 26 kerusi Parlimen walaupun keahlian parti mencecah 3.5 juta orang.

Sementara itu, Johari menasihatkan UMNO mengubah strategi seperti PKR dan DAP yang mampu meraih kemenangan lebih besar biarpun bermula sebagai sebuah parti kecil.

“PKR dan DAP konsisten dan belajar daripada kesilapan. Kalau kita lihat zaman kejatuhan sekarang, kita tinggal 26 kerusi sahaja.

“Jadi kita perlu tukar strategi kerana apa yang kita buat hari ini bukan untuk kita, sebaliknya masa depan. UMNO ditubuhkan pada tahun 1946 dahulu, tetapi kesan perjuangan dapat dinikmati generasi hari ini,” tegasnya.

Dalam pada itu, Johari yang juga bekas Menteri Kewangan II menyarankan kerajaan menangguhkan atau menyemak semula projek infrastruktur mega berikutan ketidaktentuan ekonomi semasa dengan kadar hutang negara yang tinggi.

Menurutnya, kebanyakan projek terbabit memerlukan tenaga kepakaran dan teknologi yang diimport, sekali gus menuntut kos yang mahal.

Malah, katanya, projek mega yang memerlukan pinjaman lebih besar turut mendatangkan risiko dan kesan seandainya gagal.

“Kita mestilah lihat projek mega yang memang ada keperluan akan tetapi cuma masa yang tidak sesuai sekarang. Ini juga perlukan pelarasan.

“Dalam keadaan hari ini projek mega akan memerlukan pinjaman besar dan ini perlu dilihat daripada konteks ekonomi keseluruhan kerana kadangkala ia nampak bagus di atas kertas tetapi perlu mengimport banyak teknologi kepakaran dari luar negara,” katanya.

Antara projek mega termasuk projek Transit Aliran Massa 3 (MRT3) , Fasa 2 Lebuhraya Pan Borneo Sarawak, Lebuhraya Pan Borneo Sabah dan Lebuhraya Central Spine Road. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN