Peluang pengguna buat pilihan - Utusan Malaysia

Peluang pengguna buat pilihan

Prof Madya Dr. Abu Sofian Yaacob tindakan pecahkan monopoli memberi peluang pengguna membuat pilihan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Keruntuhan monopoli bukan hanya membuka peluang sama rata kepada seluruh rakyat tetapi akan mengembangkan ekonomi negara lebih pesat seterusnya memberi manfaat kepada pengguna

Pensyarah kanan Universiti Keusahawanan Koperasi Malaysia (UKKM), Prof. Madya Dr. Abu Sofian Yaacob berkata, apabila monopoli dipecahkan akan wujud peluang untuk semua orang memasuki bidang keusahawanan dan membuka lebih luas luang pekerjaan.

Menurut beliau, pengguna juga akan mempunyai banyak pilihan untuk membuat perbandingan harga dan kualiti yang dinginkan serta tidak akan ada lagi barangan atau servis melebihi kemampuan kewangan individu.

“Seperti di Amerika Syarikat (AS), mereka mempunyai akta yang mencegah aktiviti monopoli servis atau barangan tertentu. Di mana, dahulu ada satu syarikat telefon mengawal pasaran di AS namun kerajaan sana pecahkan ia sehingga tujuh syarikat lain.

“Jadi apabila Malaysia mengambil langkah sama, ini mewujudkan persaingan sihat lalu memberi kesan positif kepada masyarakat dan membantu mengembangkan negara apabila peluang sama rata dapat dirasai semua pihak.

BIDANG

“Namun, kerajaan bukan sahaja perlu melihat monopoli daripada bidang tertentu tetapi juga ras. Di mana tiada kaum yang mengawal sesuatu perkara sahaja, biar semua rakyat Malaysia mempunyai peluang menceburi bidang sama,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Terdahulu, kerajaan memaklumkan akan mengkaji semula semua syarikat yang menikmati monopoli pada masa lalu sebagai usaha memastikan perkhidmatan ditawarkan lebih berdaya saing antara mereka.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, semua kementerian sudah diminta mengkaji syarikat monopoli sedia ada di bawah bidang kuasa mereka dalam menggalakkan pembangunan ekonomi yang telus serta persaingan yang adil.

Sementara itu, Setiausaha Agung Yayasan Usahawan Sedunia, Dr. Lee Nan Sang berkata, usaha itu amat diperlukan bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan yang kini terdapat beberapa bidang dimonopoli satu pihak tertentu sahaja.

“Saya berharap kerajaan untuk membuka tawaran kepada semua pihak, dan hanya memilih mereka yang layak dari segi kemampuan kewangan dan kelayakan teknikal.
“Malah, track record pengalaman pengurusan dan pentadbiran yang terunggul juga perlu dilihat, dan bukannya kroni atau talian hubungan,” katanya.

Nan Sang berkata, antara monopoli yang harus dipecahkan selepas ini adalah televisyen berkabel.

“Selama ini ia dimonopolikan oleh satu syarikat, saya rasa sudah tiba masanya untuk pengusaha lain diberi peluang untuk menawarkan khidmat sama,” kata beliau.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×