PETALING JAYA: Bekalan telur di pasaran masih tidak mencukupi bagi memenuhi keperluan pengguna terutama di musim Hari Raya Aidilfitri, dengan beberapa pasar raya mega sedang kekurangan sumber itu sehingga 60 peratus.
Pengarah Urusan Mydin, Datuk Ameer Ali Mydin yang dihubungi Utusan Malaysia berkata, rangkaian pasar raya Mydin kini berdepan masalah telur yang meruncing akibat bekalan itu berkurangan 60 peratus berbanding keperluan harian.
“Bekalan barangan semua cukup kecuali telur. Ia masih sangat kurang di seluruh rangkaian Mydin. Kami kurang kira-kira 60 peratus telur, jadi cuma ada 40 peratus sahaja.
“Faktornya bekalan tidak cukup, sebab itu pembekal tak hantar (telur),” katanya di sini, semalam.
Beliau pada masa sama turut mempersoalkan jaminan yang diberikan oleh kerajaan baru-baru ini bahawa bekalan sumber protein tersebut mencukupi, sedangkan rangkaian pasar raya Mydin mengalami kekurangan drastik.
“Jadi, untuk saya tak tahu lah, ada kementerian mengeluarkan kenyataan, katanya ada satu persatuan ternakan memberi jaminan bekalan telur akan cukup. Tapi untuk saya, saya rasa ini cerita yang tak betul,” katanya.
Pada masa sama, semakan akhbar ini dengan bahagian perkhidmatan pelanggan Sri Ternak Mart (SK) Sdn. Bhd. iaitu pasa raya borong terkenal di Lembah Klang turut mengakui berlaku masalah kekurangan telur yang kritikal di pasar rayanya.
Pegawai Perkhidmatan Pelanggan, Wan Muhammad Hasiff Wan Hashim yang dihubungi berkata, pihaknya mengalami kekurangan telur sehingga 40 peratus sekali gus menjejaskan permintaan pelanggan.
“Jika berdasarkan kepada bekalan telur yang dihantar ke sini, kalau diikutkan kurang sehingga 40 peratus. Sebab adakala, jika ada telur saiz AA atau D, saiz lain pula tiada bekalan. Jika ada telur saiz kecil, telur yang besar pula tiada.
“Ada juga ketikanya, telur biasa atau table egg langsung tiada, cuma ada telur omega saja. Itu keadaan sekarang, masih berlaku sehingga kini,” katanya. – UTUSAN











