JELI: Tindakan tidak bertanggungjawab individu yang membaling mercun ke bawah sebuah kereta jenis Proton Waja menyebabkan kenderaan itu terbakar seterusnya merebak ke tiga buah rumah dalam kejadian di Kampung Ayer Lanas, di sini semalam.
Bagaimanapun, kejadian pukul 11 malam itu, tidak melibatkan kemalangan jiwa.
Pemilik pemilik rumah berkenaan, Syamsuri Haskah, 46, berkata, kejadian berlaku itu semasa dia sedang menutup kedai runcit yang terletak bersebelahan dengan lokasi.
Menurutnya, kebakaran kereta itu disedari oleh seorang pelanggan yang datang ke kedai runcit untuk membeli barang sebelum memberitahunya.
“Terkejut dengan kejadian itu saya terus bergegas dan mendapati api sudah marak membakar kereta yang diparkir di tengah-tengah kawasan rumah sewa.
“Saya telah berusaha memadam kebakaran itu menggunakan alat pemadam api. Bagaimanapun gagal kerana api marak dengan begitu cepat,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Syamsuri memberitahu, sebelum memadamkan kebakaran itu dia telah menghubungi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jeli untuk mendapatkan bantuan.
Katanya, nilai kerugian akibat kebakaran itu dianggarkan berjumlah RM60,000.
“Saya tidak menolak kemungkinan kejadian itu berpunca daripada aktiviti bermain mercun dan dipercayai ada yang membalingnya ke bawah kereta,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua BBP Jeli Penolong Penguasa Bomba Kanan Adni Ibrahim berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 11.03 malam.
Katanya, seramai lapan anggota termasuk pegawai telah dikejarkan ke lokasi untuk kerja-kerja memadam kebakaran dan menyelamat.
“Setiba di lokasi pihak kami mendapati kebakaran berpunca daripada sebuah kenderaan Proton Waja dan ia telah merebak ketiga buah rumah kediaman.
“Dua daripadanya hangus 100 peratus manakala satu lingkungan 25 peratus sahaja,” ujarnya.-UTUSAN