PUTRAJAYA: Pasukan Petugas Khas Agensi-Agensi Penguatkuasaan Malaysia (MATF) menyita aset bernilai RM15.8 bilion dengan penahanan menahan 3,523 individu bagi tempoh 2023 hingga 2025.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki berkata, kejayaan itu mencerminkan keupayaan negara dalam membanteras rasuah secara bersepadu.
“Sepanjang tempoh sama, SPRM sahaja merekodkan sitaan mencecah RM6.87 bilion dari aspek pemulihan aset pada tahun 2025 selain pembekuan, pelucuthakan, kompaun dan penyelesaian yang keseluruhannya membabitkan nilai besar serta memberi impak langsung kepada hasil negara.
“Ini adalah mesej jelas bahawa setiap hasil yang diseleweng akan kita jejaki dan kembalikan kepada negara,” katanya ketika berucap pada majlis Sesi Libat Urus MATF: Way Forward di Ibu Pejabat SPRM di sini, hari ini.
Azam berkata, pencapaian itu bukan sekadar angka, sebaliknya menggambarkan keberkesanan pendekatan menyeluruh dalam mengekang jenayah berprofil tinggi.
Dalam tempoh ini, katanya, sebanyak 3,523 tangkapan dilaksanakan, merangkumi kes berprofil tinggi seperti Ops Samba 2.0, Ops Taufan, Ops Yellow, Ops Counter Setting dan Ops Bunga.
“Lebih penting, kejayaan membongkar sindiket terancang berskala besar melalui operasi seperti Ops White, Ops Kingfruit, Ops X, Ops Sikaro, Ops Metal, Ops Karen dan Ops Grip membuktikan bahawa pendekatan MATF mampu menembusi rangkaian jenayah yang kompleks, tersusun dan merentasi pelbagai sektor,”jelasnya.
Beliau berkata, sebagai peneraju MATF, SPRM turut mengetuai pelaksanaan operasi berimpak tinggi seperti Operasi 82S, Ops Tropicana, Ops Eagle dan Ops Liter.
Katanya, pendekatan ‘whole-of-government’ kini menjadi keperluan dalam menghadapi landskap jenayah masa kini, dengan kejayaan terbabit membuktikan bahawa kerjasama bersepadu antara agensi mampu bukan sahaja mengekang jenayah, malah menghancurkan keseluruhan ekosistem sindiket.
“Di dalam isu penyeludupan ‘e-waste’ dan sisa plastik haram, berdasarkan operasi Ops Metal, kita mendapati Malaysia dijadikan destinasi pembuangan sisa haram dari luar negara.
“Aktiviti ini membabitkan pemalsuan dokumen, salah pengisytiharan kargo, serta penyalahgunaan lesen import dan lebih membimbangkan, terdapat elemen rasuah di peringkat penguatkuasaan yang membolehkan kontena ini melepasi pintu masuk negara tanpa pemeriksaan sewajarnya,” katanya.
Mengulas lanjut, Azam berkata, isu itu bukan sekadar isu alam sekitar semata, ia adalah jenayah ekonomi dan kedaulatan negara kerana bukan sahaja menanggung risiko pencemaran, tetapi kehilangan hasil dan reputasi di peringkat antarabangsa.
“Begitu juga dengan kes seperti penyeludupan diesel melalu Op Karen dan penyeludupan tayar Op Grip. Aktiviti ini menyebabkan ketirisan hasil cukai mencecah ratusan juta ringgit.
“Apa yang lebih membimbangkan ialah bagaimana sindiket ini mampu beroperasi dalam tempoh yang lama dan ini menunjukkan wujudnya kelemahan sistem, manipulasi proses dan kemungkinan pembabitkan ‘enabler’,” jelasnya. – UTUSAN










