Perbezaan mudah jadi punca perpecahan jika tidak diurus dengan baik

 Perbezaan mudah jadi punca perpecahan jika tidak diurus dengan baik

MOHD. Nor Hamzah (kanan) memukul gong sebagai gimik perasmian Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah Kali Ke-5 dan Himpunan Alam Melayu 2026 di perkarangan Kompleks Sukan Negeri, Kuala Nerus, Terengganu. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah dilihat sebagai platform penting dalam mendekatkan masyarakat kepada akar sejarah serta warisan tamadun Islam, yang menjadi asas pembentukan jati diri ummah.

Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Terengganu, Datuk Mohd. Nor Hamzah berkata, program itu memberi peluang kepada masyarakat memahami asas budaya dan nilai yang membentuk masyarakat Melayu-Islam.

Katanya, tema Satu Ummah yang diketengahkan bertepatan dengan cabaran semasa yang menyaksikan perbezaan mudah menjadi punca perpecahan jika tidak diurus dengan baik.

“Umat Islam perlu bersatu dalam menghadapi cabaran semasa dan akan datang. Konflik di Timur Tengah yang berlaku kini turut menjejaskan negara di Nusantara termasuk dari segi ekonomi dan sosial,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mewakili Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar merasmikan Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah Kali Ke-5 dan Himpunan Alam Melayu 2026 di Kompleks Sukan Negeri, di sini, hari ini.

Beliau berkata, ijtimak berkenaan turut menerima penyertaan antarabangsa membabitkan negara jiran seperti Brunei, Singapura, Indonesia, Thailand dan Vietnam.

Turut dijemput, tokoh pendakwah antarabangsa, Dr. Zakir Naik hadir bagi berkongsi mengenai sejarah penyebaran Islam di Alam Melayu serta kaitannya dengan perkembangan dakwah dari India.

Mohd Nor berkata, tanggungjawab pada hari ini adalah untuk memastikan jati diri ini terus hidup sebagai asas yang membimbing generasi akan datang menghadapi dunia yang jauh lebih kompleks dan lebih mencabar. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN