Krisis tenaga global: Kerajaan utamakan projek berkepentingan rakyat - Utusan Malaysia

Krisis tenaga global: Kerajaan utamakan projek berkepentingan rakyat

AKMAL Nasrullah Mohd. Nasir (kiri) dan Aminuddin diberi penerangan mengenai projek Jalan Baharu dari Nilai-Labu ke Bandar Enstek, Seremban di Nilai, Seremban hari ini. -UTUSAN/ NOR SHAFIQAH MOHD. GHAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Kerajaan akan memberi keutamaan kepada pelaksanaan projek-projek berkepentingan rakyat meskipun sedang berhadapan tekanan akibat krisis tenaga global ketika ini.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir berkata, konflik yang berlaku di Asia Barat telah menyebabkan gangguan kepada bekalan tenaga global dan memberi impak terhadap peningkatan kos.

Menurutnya, setiap produk atau perkhidmatan yang bergantung kepada tenaga berasaskan bahan api fosil pasti akan terkesan dengan situasi itu.

“Di peringkat kerajaan justeru kami meneliti ruang intervensi yang masih boleh dilakukan dalam skop sedia ada agar projek-projek ini dapat diteruskan seperti dirancang.

“Kami juga mengadakan perbincangan dengan pihak pengurusan projek bagi memastikan sebarang cabaran sebelum ini dapat diselesaikan segera termasuk melibatkan soal kelulusan, utiliti serta pematuhan prosedur operasi strandard (SOP),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat tapak Projek Malaysia Vision Valley (MVV) : Pembeniaa Jalan Baharu Dari Nilai-Labu ke Bandar Enstek di sini hari ini. Yang hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Dalam pada itu, Akmal Nasrullah berkata, kerajaan turut memberi penekanan kepada semua agensi pelaksana untuk mengenal pasti ruang bantuan supaya setiap projek dapat disiapkan mengikut jadual.

“Sebagai contoh, projek ini (Jalan baharu dari Nilai-Labu ke Bandar Enstek) kini hampir siap sebanyak 60 peratus dan kita mahu memastikan ia dapat diteruskan tanpa gangguan,” katanya.

Tambahnya, kerajaan ketika ini turut menanggung subisidi yang tinggi bagi menampung kesan kenaikan kos tenaga termasuk subsidi bahan api.

Oleh itu, katanta, sebarang unjuran pertumbuhan ekonomi dan inflasi negara adalah berdasarkan angka rasmi yang dikeluarkan oleh pihak Bank Negara Malaysia.

Sementara itu katanya, pembinaan jalan baharu dari Nilai-Labu ke Bandar Enstek bernilai

RM557.5 juta itu dijangka akan siap pada suku pertama tahun hadapan.

“Projek ini merupakan salah satu usaha menambah baik jaringan jalan raya ke MVV dan kawasan Seremban Barat, selaras dengan perkembangan kawasan itu sebagai koridor pertumbuhan penting bagi pelaburan, industri, logistik, perumahan dan pergerakan tenaga kerja,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN