JOHOR BAHRU: Sindiket pengedaran yang menjadikan pangsapuri berpengawal sebagai pusat penyimpanan dan pembungkusan semula dadah diserbu polis dalam dua operasi berasingan, minggu lalu.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab. Rahaman Arsad berkata, pelbagai jenis dadah bernilai RM1.24 juta dirampas dalam serbuan terhadap sebuah pangsapuri di Taman Megah Ria, Seri Alam dan sebuah rumah kedai di Taman Sri Tebrau.
Katanya, pihaknya turut menahan enam individu yang terdiri daripada empat lelaki tempatan, seorang lelaki warga Singapura dan seorang wanita tempatan berusia antara 31 hingga 60 tahun.
“Polis merampas sembilan bekas serbuk MDMA seberat 7.8 kilogram, 44 paket serbuk ekstasi (1.1 kilogram), 40 botol cecair MDMA (2.4 liter), 80 pil Eramin 5 serta syabu dan pelbagai peralatan pembungkusan di lokasi pertama.
“Manakala di lokasi kedua, polis menemukan dua paket serbuk MDMA (69 gram), 212 pil ekstasi (65.08 gram), tiga paket ketamin (310 gram), empat paket serbuk ekstasi (76 gram), satu paket syabu (100 gram), dua paket heroin (174 gram) serta 52 katrij cecair ketamin (104 mililiter),” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini.
Tambah Ab. Rahaman, antara suspek ditahan termasuklah seorang koordinator aktiviti pengedaran, seorang pembekal dan ahli sindiket yang terlibat secara langsung membungkus dan mengedar dadah.
“Majoriti pelanggan mereka daripada pelanggan tetap termasuk yang berkunjung ke kelab malam. Ujian saringan awal air kencing mendapati enam daripada suspek positif methamphetamine manakala seorang lagi positif benzodiazepine.
“Selain itu, pihaknya turut merampas beberapa kenderaan termasuk kereta dan motosikal serta wang tunai lebih RM58,000 di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988,” katanya sambil memberitahu semua suspek direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan. – UTUSAN










