PETALING JAYA: Menteri Sumber Manusia V. Sivakumar disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan menerima wang bernilai jutaan ringgit menerusi orang tengah sebagai jaminan meneruskan kontrak-kontrak kerajaan terhadap individu tertentu.
Ahli Parlimen Batu Gajah itu dipanggil membantu siasatan, semalam susulan siasatan SPRM terhadap seorang pegawai tugas-tugas khas dan penahanan setiausaha sulitnya minggu lalu.
Sesi merakam keterangan itu juga dipercayai berlangsung selama lebih sembilan jam dan setakat berita ini ditulis pukul 6 petang, Sivakumar masih berada di Ibu pejabat SPRM di Putrajaya.
Satu sumber mendedahkan kepada Utusan Malaysia, serentak itu SPRM turut dikatakan menggeledah pejabat dan rumah menteri terbabit bagi menjejaki wang yang didakwa diperoleh beliau.
Katanya, kehadiran Sivakumar ke bagi menjelaskan dakwaan beliau telah menerima wang secara tunai oleh seorang ahli perniagaan yang juga ditahan SPRM bersama dua pegawai kanannya.
“Ahli perniagaan berkenaan dipercayai membuat ‘public relation’ mewakili Sivakumar untuk meminta wang kepada individu tertentu yang menjalankan projek kerajaan di kementerian itu sebagai jaminan agar mereka dapat meneruskan projek dilaksanakan selain menjanjikan akan diberikan projek lain selepas itu.
“Perbuatan yang dilakukan ahli perniagaan itu disyaki berada dibawah pengetahuan kedua-dua pegawai Sivakumar yang dikatakan pernah menyaksikan pemberian wang itu.
“Wang berkenaan disyaki dibayar secara tunai sebelum kesemua wang itu didakwa akan diserahkan kepada Sivakumar,” kata sumber itu di sini, semalam.
Kata sumber, SPRM juga dikatakan telah menyerbu dan melakukan penggeledahan di pejabat dan rumah menteri terbabit bagi menjejaki wang yang didakwa diperoleh beliau.
“Penggeledahan itu dilakukan oleh SPRM sebaik sahaja keterangan menteri itu diambil bagi mendapatkan bukti-bukti melengkapkan siasatan.
“Sivakumar tidak ditahan dan mungkin akan dibebaskan oleh SPRM sebaik keterangan beliau diambil,” jelasnya.
Dalam pada itu, kata sumber, kedua-dua pegawai kanan Sivakumar telah dibebaskan dengan jaminan SPRM manakala seorang lagi iaitu ahli perniagaan terlibat masih direman.
Pada 28 Mac lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Sesi Soal Jawab Perdana Menteri (PMQ) di Dewan Rakyat memberi bayangan bukan hanya ahli Parlimen pembangkang malah terdapat wakil rakyat blok kerajaan disiasat pihak berkuasa berhubung kes rasuah.
Anwar berkata, beliau tidak tahu jawatan ahli Parlimen terlibat, namun ada siasatan dibuat terhadap pihak berkenaan.
Katanya, terserah kepada Jabatan Peguam Negara untuk meneruskan pendakwaan individu terlibat.
Beliau menjawab soalan Siti Zailah Mohd Yusoff (PN-Rantau Panjang) yang bertanyakan sama ada terdapat ahli Parlimen kerajaan juga disiasat selain pemimpin pembangkang pernah disiasat sebelum ini.
Dalam pada itu, Anwar berkata, beliau tiada masalah sekiranya PKR disiasat sekiranya terlibat dalam unsur rasuah dalam derma politik.
Beliau kemudian menjelaskan, perlu difahami penerimaan dana politik yang dikaitkan pemberian kontrak merupakan satu kesalahan di bawah undang-undang.
Untuk rekod, hasil semakan Utusan Malaysia, ini siasatan pertama yang pernah dijalankan SPRM terhadap menteri yang masih memegang jawatan di dalam kerajaan. – UTUSAN









