PETALING JAYA: Seramai 163,862 pendatang asing tanpa izin (PATI) pelbagai negara yang `sengaja’ tinggal melebihi tempoh di negara ini ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam tempoh lima tahun sejak 2018 sehingga 27 Mac lalu.
Kesemua PATI berkenaan menggunakan Visa Dengan Rujukan (VDR), Pas Lawatan Sosial (PLS) atau sebarang pas yang sah untuk memasuki negara ini sebelum tidak mahu pulang ke negara asal walaupun dokumen perjalanan tamat tempoh.
Mereka dari pelbagai negara sanggup berstatus PATI kerana terdesak untuk mencari rezeki bagi menampung kelangsungan hidup ahli keluarga di negara asal.
Mendedahkan kepada Utusan Malaysia, Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh berkata, warga Indonesia mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 59,733 PATI yang ditahan sepanjang tempoh itu kerana tinggal lebih tempoh
Menurut beliau, turut merekodkan jumlah tertinggi dalam tempoh sama iaitu PATI warga Bangladesh iaitu 31,039 orang diikuti Myanmar dengan 18,261 individu.
Selain itu, kata beliau, sebanyak 12,559 PATI warga Filipina turut ditahan diikuti Thailand (10,002 orang), India (9,240 orang) dan Pakistan (5,532 orang).
VIETNAM
“Kira-kira 5,436 PATI lagi PATI merupakan warga Vietnam manakala lain-lain negara iaitu (12,060 orang).
“Kesemua 163,862 warga asing itu ditahan kerana melanggar peruntukan undang-undang negara seperti di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” kata beliau.
Dalam pada itu, Ruslin berkata, sehingga 26 Mac lalu, jumlah tahanan semasa di semua depoh seluruh negara adalah seramai 12,333 orang dengan kebanyakan kerana masuk secara sah tetapi sengaja menjadi PATI.
Jelas beliau, jumlah ini meliputi seramai 10,013 tahanan lelaki diikuti 2,320 lagi adalah tahanan wanita.
“Sejak 1 Januari hingga 26 Mac lalu pula sebanyak 11,216 PATI telah diusir pulang ke negara asal masing-masing,” jelasnya.
MASALAH
Ruslin berkata, usaha membanteras masalah PATI merupakan usaha berterusan JIM.
“Operasi penguatkuasaan akan dijalankan dari semasa ke semasa secara berterusan untuk mengesan, menangkap, mendakwa dan mengusir warganegara asing yang melanggar undang-undang di negara ini,” katanya.
Ruslin turut berkata, imigresen tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pegawai yang melakukan pelanggaran integriti termasuk bersekongkol dengan PATI sehingga mencemarkan nama baik dan imej jabatan.
Kata beliau, mereka yang terlibat dalam aktiviti tidak berintegriti sama sekali tidak akan dilindungi.
“Tindakan dan hukuman yang serius akan diambil terhadap pegawai yang terbukti melakukan kesalahan,” ujarnya.
Beliau menambah, imigresen akan menambah baik prosedur kerja bagi mengelakkan ketirisan dan menutup ruang pelanggaran integriti selain pelaksanaan pusingan kerja akan dibuat secara berterusan.
“Kita juga akan meningkatkan kesedaran melalui program-program pengukuhan integriti secara berkala dengan menerapkan nilai integriti yang tinggi, nilai-nilai keagamaan dan pemantauan yang lebih ketat,” kata beliau.- UTUSAN










