Mana pekeliling guru dibenar bersuara? - Utusan Malaysia

Mana pekeliling guru dibenar bersuara?

Kementerian Pendidikan diminta segera mengeluarkan Surat Pekeliling Ikhtisas (SPI) dan garis panduan untuk membenarkan guru bersuara dengan bebas melalui media sosial. - Gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kementerian Pen­didikan diminta segera me­ngeluarkan Surat Pekeliling Ikhtisas (SPI) dan garis panduan untuk membenarkan guru bersuara dengan bebas melalui media sosial.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pensyarah Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Anuar Ahmad berkata, langkah itu penting bagi memudahkan guru menggunakan ruang yang ada untuk menyua­rakan keluhan mereka.

Katanya, sekiranya mahu menunggu satu pertemuan tertutup, ia mungkin satu proses yang lambat sedangkan media sosial itu dapat memberi manfaat kepada sistem pendidikan negara jika ia digunakan secara baik dan konstruktif.

“Guru-guru adalah pelaksana dan mereka tahu apa yang berlaku di lapangan atau di dalam bilik darjah, jadi dengan bersuara dan memberikan panda­ngan itu, maka secara langsung pemimpin pendidikan meliputi menteri, timbalan menteri dan pegawai tertinggi di kementerian tahu apa yang sedang berlaku.

“Sekarang ini guru-guru me­nunggu dan tertanya-tanya bila surat itu mahu keluar sebab mereka pun risau dan tidak tahu apa tindakan sepatutnya dibuat.

“Mislanya ada guru bersuara di media sosial, adakah pentadbir perlu ambil tindakan atau tidak? Maka perlu ada SPI dan garis panduan yang jelas sebagaimana yang diarahkan oleh menteri yang mahu meraikan pandangan guru yang konstruktif dalam memastikan sistem pendidikan negara kita menjadi lebih baik,” katanya ketika dihubungi, semalam.

BUDAYA

Sebelum ini, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek me­minta budaya memberi amaran kepada guru yang mengkritik Kementerian Pendidikan secara terbuka di media sosial dihentikan.

Mengulas lanjut, Anuar ber­kata, satu grais panduan itu turut sama perlu disertakan supaya masyarakat pendidik dapat tahu sejauh mana mereka dibenarkan dan bertingkah laku di media sosial.

“Sebab kita pun tidak ma­hu ada guru-guru keluarkan perkataan yang tidak baik, mengaib­kan mana-mana pihak, tohmahan, celahan dan fitnah, jadi perlu ada satu garis panduan yang jelas.

“Menteri sudah beri satu arahan bahawa beliau membenarkan guru bersuara secara baik dan konstruktif, namun mesti ada garis panduan yang perlu diikuti oleh guru, pentadbir sekolah, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Kementerian Pendidikan,” jelasnya.

Sementara itu, Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP), Fouzi Singon berkata, kementerian perlu melihat semula kebebasan itu sebelum mengeluarkan SPI berkenaan.

Katanya, ini kerana beberapa saluran aduan sudah disediakan termasuk melalui kesatuan untuk berunding dengan pihak kerajaan.

“Sebab kena faham yang ketenteraman awam itu penting. Mungkin sedikit saja isunya, tetapi menjadi masalah apabila tular.

“Tetapi pada masa sama, kita faham yang aduan melalui media sosial ini lebih pantas diberi perhatian akibat tekanan awam, ahli politik dan tanpa karenah birokrasi,’’ katanya.

Justeru, beliau menambah, sekiranya kementerian mahu melaksanakan kebenaran bersuara itu, maka surat pekeliling itu perlu dikeluarkan segera kera­na unit integriti akan bertindak mengikut pekeliling lama.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×