Kes menteri disiasat beri bola tanggung kepada pembangkang

Kes menteri disiasat beri bola tanggung kepada pembangkang

SALAWATI MAT BASIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penyiasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasu­ah Malaysia (SPRM) ke atas seorang menteri bakal membuka ruang untuk pembangkang memainkan naratif bahawa kerajaan perpaduan tidak menepati ideologi perjuangan sendiri.

Penganalisis politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr. Salawati Mat Basir berkata, isu berkaitan menteri berkenaan pastinya akan menjejaskan kerajaan terutama dalam menghadapi pilihan raya di enam negeri tidak lama lagi.

Menurut beliau, Perikatan Nasional (PN) akan menggunakan kes itu untuk menyerang Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sering menyatakan ingin membersihkan negara daripada kegiatan rasuah tetapi mempunyai kes sama di dalam Kabinetnya sendiri.

“Pembangkang jika dapat kesalahan yang sedikit pun dia akan troll, inikan pula perkara sebegini terjadi memang sudah pasti mereka akan lebih suka kerana boleh menunjukkan bahawa kerajaan hari ini baru sahaja dapat jadi menteri dan orang kanan sudah ambil berjuta ringgit.

“PN akan mengatakan seper­ti paku dulang, paku serpih. Dulu Pakatan Harapan sering mengata kerajaan Barisan Nasional terlibat dalam rasuah tetapi kini mereka pula sama,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Terdahulu, akhbar ini mela­porkan, seorang menteri disiasat SPRM berhubung dakwaan menerima wang bernilai jutaan ringgit menerusi orang tengah sebagai jaminan meneruskan kontrak-kontrak kerajaan terhadap individu tertentu.

Menteri itu dipanggil bagi membantu siasatan susulan siasatan SPRM terhadap seorang pegawai tugas-tugas khas dan penahanan setiausaha sulitnya minggu lalu.

Sementara itu, penganalisis politik, Dr. Azmi Hassan pula berpandangan, sekiranya isu tersebut digunakan dengan betul oleh kerajaan perpaduan, ia akan memberi keuntungan kerana ia menunjukkan bahawa tiada siapa termasuk menteri akan terlepas jika terbabit dengan rasuah.

“Menteri tidak melindungi pegawai dan setiausaha sulitnya manakala Perdana Menteri tidak membuat kenyataan mempertahankan menterinya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN