Kaji balik kuota diesel subsidi nelayan - Utusan Malaysia

Kaji balik kuota diesel subsidi nelayan

Masalah pekerja warga asing dikatakan antara faktor hasil tangkapan ikan merosot sejak tahun 2021.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Kira-kira 120 pengusaha bot nelayan kelas B dan C di Perlis terjejas teruk kesan langkah kerajaan mengurangkan kuota subsidi diesel sejak Januari lalu sekali gus menyebabkan mereka terpaksa mengurangkan trip menangkap ikan.

Ketika pengusaha terbabit mahu bangkit selepas lebih dua tahun tidak turun ke laut berikutan pandemik Covid-19, perkembangan itu sekali lagi membebankan mereka.

Mengikut kadar subsidi baharu, kuota asal bagi bot pukat tunda Zon C sebanyak 20,000 liter dikurangkan kepada 17,000 liter sebulan.

PARA pengusaha bot memohon kerajaan mengkaji semula pengurangan kuota subsidi diesel kepada nelayan yang dikurangkan sejak Januari lalu.

Bagi bot pukat tunda Zon B, kuota asal subsidi diesel 16,000 liter sebulan dan berdasarkan pelarasan baharu itu, jumlah dikurangkan kepada 12,000 liter sebulan.
Kadar kuota asal subsidi diesel bot pukat jerut Zon C dari 13,000 liter dikurangkan kepada 12,000 liter.

Seterusnya, kuota bot pukat jerut Zon B dari 8,000 liter dikurangkan kepada 7,000 liter sebulan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Persatuan Perniagaan Ikan dan Pengusaha Bot Kuala Perlis, Liew Seak Tong,61, berkata, pengurangan kuota tersebut menyebabkan mereka kekurangan diesel untuk turun ke laut.

Menurut beliau, sebelum ini, nelayan bot pukat tunda zon C turun ke laut empat kali sebulan tetapi kini terpaksa mengurangkan kepada dua kali.

PEKERJA

Selain itu, katanya, mereka juga terpaksa membayar gaji kepada pekerja meskipun kekerapan turun ke laut berkurangan.

“Situasi tersebut turut melibatkan nelayan bot pukat jerut memandangkan mereka hanya dapat membuat sebanyak 20 trip perjalanan sebulan berbanding 25 trip sebelum ini.

“Keadaan ini memberi kesan buruk kepada pengusaha bot dan disebabkan itulah kerajaan sewajarnya mengkaji atau membincangkan perkara ini terlebih dahulu dengan pihak persatuan,” katanya.

Selain itu, Seak Thong berkata, jarak dari Kuala Perlis ke lokasi tangkapan ikan juga memakan masa sekitar 16 sehingga 18 jam bagi satu trip perjalanan pergi dan balik.

Ujarnya, pengurangan subsidi diesel itu akan memberi kesan terhadap pendapatan pe­ngusaha bot serta nelayan yang bekerja bagi mencari pendapatan.

“Sekiranya keadaan ini berterusan, pastinya ia akan menekan pengusaha dan nelayan malah kami harap agar subsidi ini dikekalkan semula sebanyak 20,000 liter sebulan.

HARGA

“Kita juga tidak kisah jika kerajaan menaikkan sikit harga minyak berkenaan asalkan ja­ngan mengurangkan kuota diesel tersebut,” katanya.

Kesan pengurangan kuota menyebabkan harga ikan me­lonjak sekali gus turut membebankan pengguna.

Seorang pengusaha bot kelas C, Iskandar Abd. Hamid, 63, berkata, jika sebelum ini bot pukat tunda keluar ke laut empat kali sebulan, namun mereka terpaksa mengurangkan trip sekali gus berlaku pengurangan hasil tangkapan.

“Apabila bekalan susah dipe­roleh maka pastinya ia akan beri kesan kepada kenaikan harga bagi hasil laut seperti ikan.

“Malah nelayan dan pengusaha bot juga turut terjejas teruk kerana terpaksa menanggung pelbagai kos lain,” katanya.

Seorang lagi pengusaha bot nelayan kelas C, Kam Siang Chee, 44, berkata, menerusi pertemuan bersama Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) sebelum ini, pihak terlibat memaklumkan pengurangan kuota subsidi diesel itu disebabkan peruntukan dikurangkan bagi menampung pemberian berkenaan.

Ujarnya, pengusaha bot kelas C kebanyakan berharap agar jumlah kuota subsidi itu dikekalkan sebanyak 20,000 li­ter sebula bagi membantu me­ngurangkan bebanan ditanggung mereka.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Nelayan Selangor, Omar Abd. Rahman berkata, kenaik­an harga ikan di negeri ini juga dijang­ka kesan daripada penarikan subsidi kepada nelayan de­ngan bot besar kelas B dan C.

TANGKAPAN

Katanya, dua kategori tersebut membuat tangkapan ikan untuk tujuan komersial yang dijual kepada pembekal dengan kutipan hasil sekitar RM2,000 hingga RM3,000 pada setiap kali mereka turun ke laut.

“Nelayan kecil secara harian tidak terkesan, tetapi bot-bot besar yang keluar ke laut berhari-hari sejauh lapan atau 12 batu nautika ke atas itu pasti terjejas kerana mereka guna 20,000 liter sebulan. Belanjanya sekitar RM5,000 hingga RM6,000.

“Jika dikurangkan kepada 17,000 liter sebulan, bermakna nelayan ada dua pilihan sama ada kurangkan aktiviti penangkapan ikan atau tampung mo­dal sendiri untuk capai sasaran jumlah tangkapan setiap bulan. Itu belum lagi dikira gaji pekerja lima hingga 20 orang ikut jenis bot dan pukat,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Justeru, Omar menggesa subsidi tersebut dikembalikan kerana hasil nelayan tidak menentu serta jumlah tangkapannya bergantung kepada musim dan cuaca.

“Harga ikan akan naik sudah tentu, kadang-kadang tak tarik subsidi pun harga ikan naik juga. Itu bermusim, bila musim tangkapan kurang seperti tengkujuh memang harga ikan akan naik. Ditambah dengan masalah subsidi dipotong, lagi merumitkan.

“Memang kita mengesyorkan, kalau boleh janganlah ada potongan subsidi. Yalah, kita pun tak tahu mungkin kalau potong 20 juta liter dapat mengurangkan lagi perbelanjaan rak­yat Malaysia atau penyeludupan minyak bersubsidi,” ujarnya.

Langkah kerajaan mengurangkan kuota subsidi diesel bukan langkah terbaik untuk mengekang aktiviti penyelewe­ngan bahan api itu di tengah laut.

SUKAR

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Pertubuhan Pemilik Bot Ikan Negeri Kedah, Toh Sang Chai berkata, rata-rata pengusaha masih bergelut untuk kembali menjalankan perniagaan selepas mengharungi detik sukar pandemik Covid-19.

Menurut beliau, kerajaan tidak sepatutnya mengambil tindakan drastik memotong kuota subsidi melibatkan semua pengusaha meskipun terdapat segelintir daripadanya didakwa melakukan aktiviti menyeleweng diesel.

“Kerajaan galakkan kita pergi ke kawasan lebih luas untuk tangkap ikan tetapi pada masa sama potong subsidi yang beri kesan kepada operasi harian kami. Memang kalau nak dapat hasil banyak kena pergi lebih jauh di tengah laut tetapi ia memerlukan diesel yang lebih,” katanya.

Sementara itu, seorang pe­ngusaha bot, Ooi Thean Poe, 66, berkata, penggunaan diesel setiap hari bagi sebuah bot adalah kira-kira 1,000 liter bagi kebanyakan enjin dan pemoto­ngan kuota subsidi menyebabkan mereka terpaksa mengurangkan trip untuk keluar menangkap ikan.

“Dahulu boleh keluar ke laut sehingga 25 hari sebulan sekiranya cuaca cantik, tetapi kini apabila subsidi diesel dipotong lebih banyak bot yang tersadai kerana pengusahanya tidak cukup wang untuk tampung kos operasi dan ada yang keluar hanya setengah bulan.

“Sekiranya keadaan ini berterusan ia akan memberi kesan kepada industri perikanan negara termasuk pengguna terpaksa berdepan harga ikan yang mahal kerana kekurangan hasil tangkapan,” katanya.

NELAYAN

Dalam pada itu, Pengerusi Persatuan Pendidikan dan Kebajikan Jaringan Nelayan Pantai Malaysia (Jaring), Che Ani Mat Zain meminta kerajaan supaya menambah semua peruntukan subsidi diesel dan petrol kepada nelayan pantai dan nelayan laut dalam.

Beliau berkata, hasil laut ketika ini semakin kurang dan sukar untuk diperoleh yang menyebabkan nelayan terpaksa pergi lebih jauh ke tengah laut untuk mendapatkan hasil lebih baik.

“Kita tidak boleh terus menerus salahkan faktor cuaca apabila hasil laut berkurang sedangkan hasil laut sudah semakin pupus. Oleh itu, nelayan perlu bergerak ke kawasan yang lebih jauh tanpa mengira musim bagi mendapatkan hasil lebih banyak dan enjin bot mereka memerlukan penggunaan bahan bakar yang banyak.

“Justeru kerajaan perlu memikirkan langkah terbaik untuk menyelesaikan masalah ini ke­rana ia akan mendorong kepada kenaikan harga hasil laut yang mendadak pada masa depan,” jelasnya.

Kebanyakan nelayan Zon B dan C di negeri ini didakwa terpaksa mengambil kuota subsidi diesel bot-bot nelayan lainuntuk memastikan operasi menangkap ikan tidak terjejas.
Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan Kuala Terengganu Selatan, Rohaizard Ariffin berkata, terdapat sebahagian bot nelayan terlibat memerlukan bekalan diesel yang banyak setiap kali keluar menangkap ikan.

TEMPOH

Menurutnya, nelayan terbabit kebiasaannya menangkap ikan dalam tempoh yang lama sehingga seminggu di perairan negeri ini.

Bagaimanapun, katanya, berikutan tindakan kerajaan itu menyebabkan bot tersebut ha­nya menangkap ikan dalam masa dua atau tiga hari sebelum berpatah balik ke jeti.

“Tempoh operasi menangkap ikan yang singkat itu akan menyebabkan jumlah tangkapan berkurangan berbanding sebelum ini,” katanya baru-baru ini.

Rohaizard menambah, pi­haknya mengakui terdapat segelintir bot nelayan terlibat tidak menggunakan sepenuh­nya kuota subsidi diesel tersebut.

“Bot-bot nelayan yang memerlukan bekalan diesel yang banyak akan menggunakan kuota subsidi diesel daripada bot-bot lain yang masih mempunyai lebihan kuota,” jelas­nya.

Seorang nelayan, Abu Bakar Jalikl, 53, berkata, dia percaya keputusan kerajaan mengurangkan kuota subsidi tersebut antaranya bertujuan mengelakkan nelayan tempatan mengambil kesempatan menjual diesel kepada bot nelayan asing di te­ngah laut.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×