JBPM Kelantan kendalikan 501 kes kebakaran terbuka

JBPM Kelantan kendalikan 501 kes kebakaran terbuka

ZAINAL Madasin menunjukkan lokasi kebakaran semasa ditemui Utusan Malaysia di pejabat JBPM Kelantan, Tunjong, Kota Bharu, Kelantan hari ini-UTUSAN/ROSLIZA MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan sudah mengendalikan 501 kes kebakaran terbuka yang berlaku di seluruh negeri bermula Januari sehingga kelmarin.

Pengarahnya Zainal Madasin berkata, kebakaran itu melibatkan belukar, lalang, kebun, ladang, hutan, tanah gambut, sampah dan lain-lain di kawasan berkeluasan 6,000 hektar.

Menurutnya, puntung rokok dan kerja-kerja membersihkan kebun antara faktor penyumbang kepada kebakaran terbuka itu.

“Daripada jumlah tersebut Bachok merekodkan kebakaran terbuka paling tinggi melibatkan 82 kes di tiga lokasi iaitu Kampung Be’oh, Beris Lalang dan Kampung Kuar.

“Ia diikuti Kota Bharu (58 kes) dan Pasir Puteh (53 kes). Sehubungan dengan itu, JBPM Kelantan sudah membuka  bilik gerakan beroperasi 24 jam bagi memantau situasi semasa kebakaran terbuka di negeri ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Zainal memberitahu, hasil pemerhatian yang dilakukan JBPM Kelantan mendapati kebakaran kerap berlaku seawal pukul 11 pagi.

Katanya, cuaca panas dan kering yang sedang melanda negeri ketika ini turut menjadi penyumbang kepada kebakaran tersebut.

“Saya nasihatkan penduduk setempat mahu pun orang awam supaya tidak melakukan pembakaran terbuka atau membuang puntung rokok yang menjerumuskan kepada kejadian itu.

“Pada masa sama, pembakaran terbuka boleh menyebabkan pencemaran udara dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) boleh mengambil tindakan terhadap pihak yang berbuat demikian,” ujarnya.-UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN