KOTA BHARU: Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kelantan sedang menunggu keputusan analisis sampel air yang dihantar ke Jabatan Kimia bagi mengenal pasti punca sebenar kematian ratusan ekor ikan di Sungai Padang Kijang dekat Kampung Alor Pasir, Tanah Merah pada Isnin lalu.
Timbalan Pengarahnya, Mohamad Zamzani Ibrahim berkata, sampel air telah diambil dan dihantar ke Jabatan Kimia semalam untuk analisis lanjut.
Katanya, hasil pemeriksaan awal JAS Kelantan tidak menemukan sebarang petunjuk yang menunjukkan berlakunya pelepasan sisa pencemaran daripada aktiviti industri atau pelepasan haram di kawasan terbabit.
“Semasa kita membuat penilaian di lokasi, kita tidak menjumpai sebarang pelepasan daripada mana-mana aktiviti. Di kawasan itu juga tidak terdapat kilang atau aktiviti yang boleh dikaitkan secara langsung dengan pencemaran.
“Bagaimanapun, kita masih menunggu keputusan analisis sampel air untuk mendapatkan gambaran yang lebih jelas,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Media sebelum ini melaporkan, ratusan ekor ikan telah ditemukan mati di Sungai Padang Kijang dekat Kampung Alor Pasir, Tanah Merah pada Isnin lalu sekali gus menimbulkan kegusaran dalam kalangan penduduk.
Hal ini kerana ia merupakan kejadian pertama yang berlaku di kawasan berkenaan.-UTUSAN










