JOHOR BAHRU: Pentadbiran kerajaan negeri akan beroperasi pada tahap minimum sebagai kerajaan sementara susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor pada 1 Jun lalu.
Menerusi hantaran di laman Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hari ini, segala urusan harian pentadbiran tetap berjalan seperti biasa dan memerlukan perhatian yang rapi.
Menurut hantaran itu, kerajaan sementara akan terus berfungsi bagi memastikan pengurusan harian negeri berjalan lancar menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN).
Sehubungan itu, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan menerima mengadap Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi, semalam.
Sesi menghadap yang berlangsung selama satu jam di Istana Pasir Pelangi itu untuk mempersembahkan makluman terkini mengenai urusan kerajaan negeri.
Menurut hantaran itu, pertemuan tersebut merupakan sebahagian daripada rutin berkala antara Seri Paduka Baginda dan Menteri Besar, yang tetap diteruskan dalam pengurusan kerajaan sementara selepas pembubaran DUN.
Suruhanjaya Pilihan Raya dijadual mengadakan Mesyuarat Khas esok bagi menentukan tarikh-tarikh penting PRN Johor dan Negeri Sembilan. – UTUSAN







