Jaringan minit akhir Brundo beri tiga mata berharga buat Sri Pahang - Utusan Malaysia

Jaringan minit akhir Brundo beri tiga mata berharga buat Sri Pahang

STEFANO Brundo meraikan gol yang dijaringkannya pada minit akhir masa tambahan perlawanan Liga Super 2023, menewaskan Kelantan United 1-0 di Stadium Darul Makmur di Kuantan, Pahang. - FOTO/SHAIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Sri Pahang menghapus badi seri apabila menang 1-0 dalam saingan Liga Super menentang Kelantan United di Stadium Darul Makmur di sini malam ini.

Gol minit ke-93 oleh Stefano Brundo seminit sebelum masa tambahan berakhir cukup bermakna untuk Sri Pahang memperoleh tiga mata berharga sekali gus mengekalkan rekod tanpa kalah tuan rumah.

Bagaimanapun tampil dengan reputasi lebih gah berbanding Kelantan United, Sri Pahang nyata gagal menggunakan kelebihan beraksi di hadapan penyokong sendiri apabila pasukan pelawat lebih banyak menguasai perlawanan.

Sepuluh minit pertama, anak buah penolong jurulatih Kelantan United, Nazrulezwan Makmor mempunyai dua peluang terbaik untuk menjaringkan gol termasuk turut memperolehi satu sepakan sudut.

PEMAIN Sri Pahang, Michael John Glassock, mengasak pemain Kelantan United, Nik Azli Nik Alias pada perlawanan Liga Super 2023 di Stadium Darul Makmur di Kuantan, Pahang. – FOTO/SHAIKH AHMAD RAZIF

Bagaimanapun penjaga gol Sri Pahang, Mohd. Izham Tarmizi Roslan beraksi dengan baik apabila berjaya menyelamatkan gawangnya daripada dibolisi serangan Kelantan diketuai Nik Azli Nik Alias dan Jose Porteria.

Mungkin agak terkejut dengan serangan bertali arus pelawat, anak buah Fandi Ahmad mula mengatur serangan balas dan menjadikan perlawanan selepas itu agak seimbang untuk kedua dua pasukan.

Kpah Sherman dan Lucas Da Silva mempunyai beberapa peluang untuk mencetak gol tetapi sering kali sepakan dua pemain import itu tersasar jauh dari tiang gol lawan.

Sepakan deras dari luar kotak penalti dari penyerang Kelantan United, Mohd. Asraf Alifuddin juga tersasar di minit akhir separuh masa pertama untuk kedudukan seri 0-0.

Percaturan Fandi mengeluarkan Abdul Malik Mat Arif dan memasukkan Mohd. Azwan Ariffin sebaik babak kedua bermula mengubah rentak tuan rumah untuk lebih rancak mengatur gerak bagi menembusi benteng pelawat.

PENYERANG Kelantan United, Devid De Santana Silva diasak oleh Lucas Da Silva pada perlawanan Liga Super 2023 di Stadium Darul Makmur. – FOTO/SHAIKH AHMAD RAZIF

Minit ke-68, Mohd. Baqiuddin Shamsudin mempunyai peluang terbaik menjaringkan gol pendahuluan tuan rumah tetapi menghampakan kira-kira 2,000 penyokong Sri Pahang apabila sepakannya sempat ditepis keluar Mohd. Ilham Amirullah.

Penyerang itu sekali lagi membuat penyokong hampa pada minit ke-86 selepas sepakan dari luar kotak penalti hanya sedikit tersasar walaupun ketika itu penjaga gol lawan sudah tertewas.

Sri Pahang terus melancarkan serangan ke arah pintu gol Kelantan United tetapi masih buntu mencetak gol sebelum Stefano Brundo menggembirakan penyokong dengan jaringan tunggal malam ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.