Gagal letak tanda harga kesalahan tertinggi - Salahuddin - Utusan Malaysia

Gagal letak tanda harga kesalahan tertinggi – Salahuddin

SALAHUDDIN AYUB (dua dari kanan) meninjau penjualan Daging Rahmah Import di Pasaraya Econsave di Pontian.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PONTIAN: Kegagalan meletak atau mempamerkan tanda harga merupakan kesalahan tertinggi yang dilakukan oleh para peniaga menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri kali ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, pihaknya menerima banyak aduan mengenai perkara tersebut dan meminta pegawai penguatkuasa melakukan pemantauan rapi bagi membendung tindakan tidak bertanggungjawab tersebut.

Menurutnya, kecuaian dalam meletak dan mempamerkan tanda harga oleh para peniaga dan peruncit telah berulang kali diberikan teguran, namun masih ada yang mengulang perbuatan sama.

“Kami memandang serius perkara tersebut keran boleh mengelirukan pengguna yang ingin membeli barangan disebabkan tiada tanda harga dipamerkan oleh peniaga atau peruncit,” katanya dalam sidang akhbar selepas melancarkan Jualan Rahmah Daging Import di Pasaraya Econsave Pontian, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah KPDN negeri, Lilis Saslinda Pornomo dan  Pengurus Besar Econsave, Mas Imran Adam.

Mengenai Jualan Rahmah itu, sebanyak 90 cawangan Econsave di seluruh negara menawarkan 500 tan daging kerbau import pada harga RM14.90 sekilogram (kg), berbanding harga siling RM20  yang ditetapkan.

Dalam pada itu, Salahuddin memberitahu, pihaknya turut mengesan terdapat peniaga di beberapa lokasi menjual ayam segar melebihi harga siling ditetapkan.

“Hasil pemeriksaan yang dilakukan kementerian, perkara itu disebabkan penjual ayam menerima bekalan ayam daripada dua hingga tiga lapisan pemborong,” katanya sambil memberitahu keadaan itu menyebabkan peniaga  terpaksa meletak caj memotong bagi menampung kos.

Pihaknya telah meminta pandangan perkara daripada  Unit Undang-Undang KPDN dan sekiranya peniaga meletakkan tanda harga dan notis caj pemotongan serta dipersetujui pengguna, perkara itu bukan satu kesalahan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN