Dua jalan utama ditutup, Gua Musang mulai sesak

Dua jalan utama ditutup, Gua Musang mulai sesak

KESESAKAN lalu lintas mulai dapat di jalan menghala ke bandar Gua Musang, Kelantan pagi ini.UTUSAN/AIMUNI TUAN LAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Dua laluan utama di sini mulai sesak apabila ditutup sepenuhnya sejak malam tadi untuk kerja pemasangan cerucuk jambatan bagi pembinaan Projek Lingkaran Tengah Utama (LTU) Pakej 3B dan 3C.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, jalan menghala ke bandar Gua Musang bermula dari bulatan Tanah Putih ke simpang Kampung Pulai dan Jalan Kesedar Putra sesak dengan kenderaan pagi tadi.

Bagaimanapun, pengguna masih boleh menggunakan laluan alternatif FT008 melalui hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang, FT 2744 (hadapan Hospital Gua Musang) dan FT2746 (Jalan Pulai).

Seorang pengguna jalan, Mohd. Samsuddin Ismail, 50, berkata, penduduk di sekitar bandar Gua Musang dan pengguna jalan raya tidak mengetahui jalan berkenaan telah ditutup.

Menurutnya, jalan tersebut masih boleh dilalui kenderaan setakat semalam sebelum ia ditutup sepenuhnya malam tadi.

“Jalan itu ditutup pada waktu malam dan ramai pengguna yang tidak tahu mengenai perkara itu. Kami ingatkan, jalan itu tidak jadi tutup kerana ia masih dibuka untuk laluan kenderaan selepas beberapa hari Jabatan Kerja Raya (JKR) mengeluarkan notis. 

“Saya sendiri terkejut apabila perlu menggunakan laluan alternatif pagi tadi. Ramai juga ibu bapa kelam kabut dan terperangkap dalam kesesakan sehingga anak lewat tiba di sekolah,” katanya.

Sementara itu, Jurutera Awam Penguasa Kanan Unit Projek Khas Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) 1 Cawangan Jalan, Ir. Mohd. Hamizi Abdullah dalam satu kenyataan berkata, penutupan jalan terbabit diteruskan da  kenderaan perlu dilencongkan daripada memasuki kawasan pembinaan yang akan menyebabkan kesesakan teruk akibat daripada ‘bottle neck’ di tempat pembinaan selepas lampu isyarat Taman Wangi di sini.

Katanya, lencongan sehala sebelum ini agak sempit dan dikhuatiri agak berisiko untuk menerima jumlah kenderaan yang banyak semasa sambutam Hari Raya Aidilfitri nanti.

“Hujan lebat sebelum ini menyebabkan berlaku satu runtuhan cerun yang agak besar selepas bulatan Gua Musang menghala Kota Bharu. Sekiranya berlarutan, jalan terbabit juga akan ditutup.

“Pihak JKR LTU sudah membuat persediaan sebelum jalan ditutup apabila menaiktaraf jalan alternatif iaitu dari jalan simpang Kampung Pulai ke simpang IPD Gua Musang,” ujarnya.

Mohd. Hamizi berkata, pengguna jalan raya terutamanya perantau tidak perlu risau kerana jalan alternatif sudah disediakan dan pihaknya turut mengambil kira kemasukan kenderaan melalui daerah ini menjelang Hari Raya nanti.

Sebelum ini, JKR Jajahan Gua Musang dalam satu kenyataan berkata, laluan di FT2747 Kilometer (KM) 3.9 (Simpang Hospital) sehingga KM2.4 (Jambatan Taman Damar) dan FT2745 KM0.8 (Bawah Flyover Taman Damar) akan ditutup kepada semua lalu lintas di kedua-dua arah.

Penutupan itu bermula semalam hingga 29 April dari pukul 8 pagi hingga 7 petang.-UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya