Pusingan ‘U’ lebih 1km, penduduk tuntut buka semula jalan

Pusingan ‘U’ lebih 1km, penduduk tuntut buka semula jalan

MAZLIFAH Awang dan Dhiviya Nair (tiga dan empat, kiri) bersama penduduk di hadapan laluan persimpangan yang ditutup di Taman Aquila Alam Sutera, Puncak Alam, di Kuala Selangor, Selangor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA SELANGOR: Penduduk Aquila Alam Sutera di Puncak Alam, di sini menuntut supaya persimpangan keluar masuk ke kawasan perumahan mereka dibuka semula apabila mereka terpaksa membuat pusingan ‘U’ untuk ke Persiaran Mokhtar Dahari.

Penutupan simpang itu lebih empat tahun lalu didakwa dilakukan oleh sebuah syarikat pemaju yang membina persimpangan lampu isyarat tiga arah ke taman mereka.

Pengerusi Persatuan Penduduk Aquila Alam Sutera (PPAAS) Mazlifah Awang berkata, penutupan ke arah kanan itu sebelum ini dibuat kononnya Jalan Bukit Cherakah akan dinaiktaraf sebagai laluan pantas.

Katanya, bagaimanapun tindakan itu menyebabkan penduduk terpaksa membuat pu­singan U lebih satu kilometer dari jalan masuk utama ke taman tersebut.

“Di sepanjang Jalan Bukit Cerakah terdapat enam persimpangan lampu isyarat yang dibina, jadi tidak masuk akal ia dijadikan lorong speed lane.

“Selain itu, susur masuk dengan lampu isyarat turut dibina di laluan bertentangan jalan masuk ke Alam Sutera me­nuju ke kawasan milik pemaju, sedangkan kami yang terletak betul-betul berhadapan simpang itu kena pusing jauh untuk ke Persiaran Mokhtar Dahari,” katanya ditemui Utusan Malaysia.

Kawasan Taman Alam Sutera menempatkan 263 unit kediaman dengan tambahan 88 unit rumah bandar Selangorku.

Kata Mazlifah, 50, selepas penutupan simpang tersebut, penduduk terpaksa ‘bertarung nyawa’ setiap hari berikutan keadaan infrastruktur jalan yang tidak sempurna disam­ping laluan yang sibuk dan merbahaya dengan kehadiran ken­deraan berat khususnya diwaktu puncak.

Lebih teruk, kanak-kanak sekolah yang menaiki bas sekolah perlu keluar rumah lebih awal disebabkan mereka perlu menempuh jarak perjalanan jauh untuk ke sekolah di Puncak Alam.

“Kos juga bertambah dengan setiap kanak-kanak sekolah dikenakan bayaran sekitar RM150 hingga RM200 seorang oleh pengusaha bas sekolah di­sebabkan laluan masuk dan keluar yang jauh.

“Penduduk yang ingin keluar bekerja juga terpaksa menempuh tambahan masa sehingga 30 minit untuk keluar ke lokasi lain disebabkan jarak perjalanan yang jauh,” kata Mazlifah.

Jelasnya, penutupan lorong keluar itu juga dilakukan tanpa rundingan dengan penduduk.

Seorang lagi penduduk, Dhiviya Nair, 35, berkata, penutupan laluan keluar itu juga menyukarkan perjalanan agensi keselamatan seperti ambulans dan bomba kerana mereka terpaksa menempuh perjalanan jauh untuk ke Taman Alam Sutera.

Mazlifah juga menegaskan penduduk akan berjuang berhabis-habisan untuk memastikan persimpangan keluar dan lampu isyarat itu dapat dibina termasuk menggunakan saluran perundangan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN