Double Six: Sorok maklumat cetus spekulasi baharu

Double Six: Sorok maklumat cetus spekulasi baharu

BANGKAI pesawat Nomad 9M-ATZ yang terhempas di perairan cetek berdekatan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu pada 1976 mengorbankan 11 orang termasuk Fuad Stephens. - GAMBAR WIKIPEDIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tindakan menyorok maklumat siasatan tragedi Double Six yang me­ngorbankan 11 individu terma­suk Ketua Menteri Sabah, Tun Fuad Stephens menimbulkan banyak persoalan, sekali gus mencetuskan spekulasi baharu insiden yang berlaku pada 47 tahun lalu.

Meskipun tindakan sedemikian dikatakan kononnya bagi menjaga hubungan antarabangsa, namun perkara tersebut tidak seharusnya berlaku kerana membabitkan nyawa terkorban.

AZMI HASSAN

Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Geostrategis dan Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategi Akademi Nusantara, Dr. Azmi Hassan menjelaskan, sebarang tindakan untuk me­ngubah atau memadam maklumat boleh menambah satu lagi persoalan iaitu mengapa perkara itu dilakukan sedangkan siasatan bertujuan untuk merungkai nahas tersebut.

Bagaimanapun, katanya, sejauh mana kebenaran dakwaan maklumat dipadam atau sebaliknya akan diketahui selepas laporan diumumkan kerajaan dalam masa terdekat.

“Dikhabarkan Australia tidak mengeluarkan secara sepenuh­nya 100 peratus laporan itu. Ada perkara-perkara dipadamkan untuk melindungi hubungan antara negara Komanwel, termasuklah Malaysia dan Australia.

“Dalam hal ini, walaupun tiada kaitan tetapi persepsi amat penting terhadap tindakan memadam beberapa segmen (maklumat), mungkin ada orang tertanya-tanya mengapa nak sorok? Jadi ini bakal timbul persepsi,” katanya.

Semalam, bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Yong Teck Lee memberitahu, pendedahan siasatan tragedi Double Six itu mesti disertakan bersama laporan yang dilakukan pihak Australia tentang punca di sebalik nahas udara terbabit.

Dakwanya, banyak isu melingkari misteri nahas termasuklah pendedahan Arkib Negara Australia bahawa bahagian tertentu teks laporan telah dihapuskan atau dihapuskan.

Azmi menambah, walaupun lebih lima dekad, tindakan kerajaan untuk dinyahklasifikan laporan itu dilihat signifikan dan tepat masanya bagi menjawab segala teori konspirasi dalam kalangan masyarakat khususnya rakyat Sabah.

“Namun menjadi tanda ta­nya mengapa daripada dulu lagi tidak dihebahkan siasatan itu,” katanya.

Sementara itu, Pakar Perlembagaan dari Institut Antarabangsa Pemikiran Islam dan Tamadun, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Datuk Prof. Madya Dr. Wan Ahmad Fauzi Wan Husain berkata, pihak yang terlibat dalam tragedi Double boleh didakwa sekiranya ada elemen jenayah dan unsur khianat.

Bagaimanapun katanya, beban pembuktian berdepan laluan sukar iaitu untuk mencari semula saksi dan dokumen tragedi yang berlaku hampir 50 tahun itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×