ARAU: Penduduk di negeri ini menjangkakan bayaran bil elektrik pada bulan ini akan naik satu hingga dua kali ganda berikutan kekerapan penggunaan alat pendingin hawa sepanjang musim cuaca panas.
Bahang panas juga dirasai pada waktu malam sehingga menyebabkan alat pendingin hawa atau kipas angin sentiasa dihidupkan untuk keselesaan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, seorang kakitangan swasta, Hasmira Hashim,39, berkata, cuaca panas mula dirasai bermula pukul 9 pagi sehingga tengah malam.
Katanya, Ramadan pada tahun ini mencabar kerana cuaca panas, malah minum air lebih menjadi keutamaan semasa berbuka berbanding menu makanan.
Berikutan itu katanya, apabila berada di rumah alat pendingin hawa sentiasa dihidupkan termasuk pada waktu malam bagi meredakan bahang berkenaan.
“Bil elektrik bulan depan dijangka melambunglah apabila pendingin hawa sentiasa berfungsi kebelakangan ini. Bahang sangat panas ketika ini meskipun berada di dalam rumah.
“Jika sebelum ini bil elektrik rumah sekitar RM100, bulan depan mungkin boleh mencecah sehingga RM200 atau RM300 apabila pendingin hawa sentiasa dibuka kebelakangan ini.
“Pada waktu malam sehingga tengah malam sekalipun juga kita masih terasa panas dan berpeluh. Kadang-kala cuaca redup namun bahang panas itu masih juga terasa,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan, fenomena bahang cuaca panas yang melanda Semenanjung negara disebabkan pemanasan permukaan bumi akibat sinaran matahari dan taburan hujan yang kurang.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Muhammad Helmi Abdullah dilaporkan berkata, suhu maksimum harian merekodkan 37 darjah Celsius melibatkan negeri-negeri utara Semenanjung dan pedalaman Kelantan dan Pahang.
Seorang lagi kakitangan swasta, Fazlina Rahman 36, berkata, alat pendingin hawa menjadi penyelamat kepadanya ketika ini dalam berdepan bahang panas ketika ini.
“Bahang panas ini agak memberi cabaran dalam bulan puasa ini khususnya anak-anak yang berpuasa dan bersekolah sehingga petang,” katanya. – UTUSAN









