Cuaca dijangka kembali normal seminggu lagi

Cuaca dijangka kembali normal seminggu lagi

SEKUMPULAN penduduk menyejukkan badan dengan mandi-manda di Pantai Kekabu, Marang semalam berikutan cuaca panas sekarang ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Cuaca panas yang melanda negara ketika ini dijangka kembali reda dalam tempoh seminggu lagi.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, pakar Klimatologi dan Oseanografi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr. Fredolin Tangang berkata, keadaan cuaca semasa yang kering adalah disebabkan oleh fenomena Ayunan Madden Julian (MJO).

Katanya, keadaan yang ke­ring dan tiada hujan boleh me­ningkatkan suhu udara, malah semasa musim perantaraan monsun, angin yang lemah dan ketiadaan arah yang dominan memburukkan lagi keadaan.

RAMALAN

“Ramalan yang dibuat oleh Pusat Ramalan Iklim di Amerika Syarikat menunjukkan kawasan Malaysia masih didominasi oleh pusat perolakan terhalang.

“Fenomena ini adalah berskala besar dan orang ramai perlu memantau ramalan cuaca yang dikeluarkan dari masa ke semasa.

“Namun, cuaca panas dijang­ka kembali normal seminggu lagi kerana pusat perolakan terhalang sedang bergerak ke timur. Oleh itu, cuaca diramal kembali seperti biasa,” katanya semalam.

Terdahulu, sebanyak sembilan kawasan dilaporkan berada pada kategori tahap satu atau berjaga-jaga iaitu suhu maksimum harian 35 sehingga 37 darjah celcius sekurang-kurangnya tiga hari berturut-turut.

Status cuaca panas Jabatan Meteorologi setakat pukul 4.30 petang kelmarin merekodkan, kawasan berkenaan adalah Jempol, Rompin, Jeli, Tanah Merah, Pasir Mas, Kuala Krai, Terengganu, Beaufort dan Nabawan.

Selain itu, kawasan lain berada pada suhu maksimum harian kurang daripada 35 darjah selsius manakala tiada kawasan merekodkan pada tahap dua (gelombang haba) dan tahap tiga (gelombang ekstrem haba).

Fredolin Tangang berkata, di pantai barat Semenanjung Malaysia, hujan yang biasa turun sebelah petang dan lewat petang yang dialami berkaitan dengan musim perantaraan atau peralihan monsun.

“Ribut petir dan hujan lebat semasa bulan April dan Mei terutama pada waktu petang dan lewat petang adalah biasa bagi bulan-bulan ini iaitu sebahagian dari kitaran musim.

“Ini terutama di kawasan pantai barat Semenanjung Malaysia dan Lembah Klang. Bagaimanapun, MJO boleh mengganggu kitaran dan melemahkan mekanisme ini dan menjadikan keadaan lebih kering.

“Berkemungkinan Thailand juga dipengaruhi fenomena ini. Bagaimanapun, April merupakan musim panas bagi mereka berbanding di Malaysia iaitu bulan Jun hingga Julai,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN