KUALA LUMPUR: Anak bekas Pengerusi Perhubungan UMNO negeri Selangor, Tan Sri Noh Omar dijangka bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor, namun di bawah tiket Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Sumber memberitahu Utusan Malaysia, anaknya, Nurul Syazwani Noh akan bertanding di salah sebuah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah Parlimen Tanjong Karang.
“Iya, namanya ada dalam senarai, namun biar pimpinan pusat yang mengumumkannya,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Noh ketika dihubungi untuk mendapatkan reaksi berhubung perkara itu berkata, beliau tidak akan menghalang niat anaknya jika Nurul Syazwani memilih untuk bertanding PRN atas tiket Bersatu.
Memahami kekecewaan terhadap UMNO, Noh berkata bagaimanapun, beliau menyerahkan perkara itu kepada pimpinan Bersatu pusat untuk menentukannya.
“Saya memang tidak suruh mahupun menghalang anak saya untuk bertanding dan menceburi bidang ini, itu hak dia dan saya tidak akan masuk campur.
“Sebagai bapa, saya sudah pasti akan turun membantu kempen untuknya jika dia dicalonkan untuk bertanding dalam PRN Selangor nanti,” katanya lagi.
Nurul Syazwani sebelum ini merupakan ahli UMNO, namun telah menyertai Bersatu selepas bapanya dipecat keahliannya pada Januari 2023.
Kini, anak Noh itu memegang jawatan sebagai Ketua Srikandi Muda Tanjong Karang. – UTUSAN










