JERANTUT: Ketua UMNO Bahagian Jerantut yang baharu, Haris Salleh Hamzah meletakkan tujuh garis berasaskan slogan ‘Bangkit’ untuk memartabatkan dan memperkasakan UMNO Bahagian itu khususnya membabitkan aspek persefahaman serta setiakawan.
Haris Salleh berkata, elemen keramat yang menjadi teras perjuangan untuk menyatukan ahli UMNO di Jerantut, iaitu bersatu-padu, nikmat ekonomi, gerakan pemulihan parti, kestabilan sosial, islah dan wasatiyyah, Terajui Jerantut dan Anak Muda Bangsa.
Anak kelahiran Kampung Koi, Damak merupakan lepasan Sekolah Menengah Agama (SMA) Padang Tengku, Lipis dan pemegang Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu berkata, antara teras perjuangan keramat itu, iaitu islah dan wasatiyyah bertujuan mengembalikan dan mengamalkan konsep kesederhanaan berdasarkan prinsip keislaman dengan memfokuskan pelbagai aspek kehidupan bermasyarakat.
“Saya bersama rakan dalam UMNO Bahagian ini akan melaksanakan tujuh garis keramat dan tujuh teras perjuangan ini untuk menyatupadukan ahli kembali stabil bagi membolehkan UMNO bangkit semula untuk mencongak perancangan pembangunan Jerantut dan kebajikan rakyat sepenuhnya,” katanya.
Ujarnya, kemenangannya juga membolehkan pelbagai usaha dan strategi baharu diatur dengan memfokuskan penglibatan anak muda dalam semua bidang seperti pendidikan, ekonomi dan sukan selain itu menggalakkan keahlian baharu dalam parti UMNO berasaskan teras Anak Muda Bangsa.
Dalam pemilihan parti itu Sabtu lalu, Haris Salleh yang juga Bendahari UMNO bahagian itu memperoleh 304 undi mengalahkan tiga pencabar lain termasuk pesaing yang terdekat, Ahmad Murad Mat Hasim cuma mendapat 184 undi daripada keseluruhan 603 kertas undi.
Bagi jawatan Timbalan Ketua UMNO bahagian itu, bekas wartawan yang juga bekas Setiausaha Akhbar Datuk Seri Najib Razak, Datuk Rozilan Salleh menang apabila memperoleh 163 undi dengan mengalahkan empat pesaing terkuat termasuk Datuk Mohd. Zukarmi Abu Bakar yang juga Setiausaha bahagian sebelum ini dan calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Jerantut pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) November tahun lalu.
Dalam perebutan jawatan Naib Ketua UMNO Bahagian pula, ahli jawatankuasa UMNO bahagian itu sebelum ini, Mohd. Adil Mohd. Zain menang dengan jumlah undi 292 menewaskan tiga calon lain. – UTUSAN










