JERANTUT: Bekas Ketua Puteri UMNO Jerantut, Datuk Hartini Abdul Rahman, 51, menyangkal dakwaan dalam kalangan ahli jawatankuasa (AJK) UMNO Bahagian ini serta pihak tertentu bahawa dirinya akan keluar UMNO dan menyertai parti lain.
Hartini berkata, dakwaan tidak berasas itu bertujuan memburuk-burukkan nama, peribadi dan keluarganya yang kini bergerak aktif dalam kegiatan kemasyarakatan selepas dia tewas dalam pemilihan Ketua Wanita UMNO dua tahun lalu.
“Dakwaan ini tidak benar dan semata-mata untuk menjatuhkan imej saya yang sudah lama berjuang dalam UMNO sejak 2001 setelah dipilih sebagai ketua penaja seterusnya Ketua Puteri UMNO Jerantut sewaktu era Datuk Seri Azalina Othman dan kepimpinan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
“Saya berjuang dengan ikhlas selama tiga penggal sebagai Ketua Puteri UMNO serta ahli jawatankuasa peringkat negeri serta bahagian Jerantut turut membantu semasa era Ketua UMNO Jerantut, Datuk Seri Tengku Azlan Sultan Abu Bakar dan pemimpin Puteri peringkat Pusat dan negeri tidak sewajarnya di momok secara provokasi oleh jawatan kuasa bahagian ini dan pihak tertentu,” katanya di Perumahan Banjir Kampung Ulu Teh di sini hari ini.
Menurut Hartini, sudah ‘riuh-rendah’ cakap-cakap dalam kalangan ahli UMNO bahagian ini serta pihak tertentu sehingga dia tidak senang duduk serta tekanan dalam urusan kerja harian malah tidak tahu bagaimana hendak menafikan.
“Saya tidak tahu bagaimana perkara (dakwaan) ataupun boleh disifatkan sebagai fitnah ini timbul sejak dua hari lalu dan amat terkejut dalam kalangan ahli keluarga termasuk ibu saya sebagai Ketua Cawangan Wanita UMNO Teh/Batu Embun.
“Dalam hal ini saya tetap setia dengan UMNO dan sebagai Ketua Penerangan UMNO Teh/Batu Embun bersama ibu saya melaksanakan tanggungjawab seperti sebelum ini untuk memajukan masyarakat serta kampung ini walaupun saya tidak berada dalam saf jawatankuasa UMNO Bahagian Jerantut lagi,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, mereka khususnya dalam kalangan ahli UMNO yang membuat dakwaan ini sepatutnya ‘cermin diri’ terlebih dahulu tentang hala tuju dan mencongak pengurusan serta kepimpinan untuk persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-6 (PRU16) akan datang.
“Saya sendiri kecewa apabila kebanyakan kalangan AJK Bahagian dan Puteri sendiri tidak begitu mesra dan setiakawan malah meminggirkan selepas tidak lagi menjawat Ketua Puteri selain tewas semasa pemilihan Ketua Wanita UMNO yang lalu.
“Dalam hal ini, saya juga berasa sedih apabila AJK Bahagian tidak memainkan peranan serta bersungguh untuk mengembalikan radar kekuatan UMNO seperti yang pernah diterajui bekas Ketua UMNO lalu, iaitu Datuk Ahmad Kamaruzaman Baria, Datuk Tengku Azlan Sultan Abu bakar, Datuk Ahmad Nazlan Idris serta pemimpin sebelum ini,” katanya.
Beliau berkata, program yang dilaksanakan khususnya untuk meyakinkan serta menarik golongan muda agak perlahan dan seolah-olah tidak ada idea bagaimana mendampingi golongan tersebut malah bukan tertumpu bidang sukan sahaja, tetapi sewajarnya mencongak agenda kemajuan ekonomi, keusahawanan, pendidikan dan sebagainya yang boleh membantu peluang pekerjaan serta pendapatan.
“AJK Bahagian yang diamanahkan untuk mengembalikan keyakinan golongan muda termasuk pengundi yang kecewa dengan UMNO sebelum ini terhadap perjuangan UMNO seolah-olah nampak lesu dan kelihatan ada ‘berpuak-puak’ ketika menganjurkan sesuatu program,” katanya.
Ujarnya, jika pihak berkenaan dalam kalangan AJK Bahagian menunjukkan sikap mencari kesalahan pemimpin lalu serta takut dengan bayang-bayang sendiri sekali gus wujud berpuak-puak lambat laun UMNO Jerantut sekali akan meratapi kekalahan yang sama pada PRU16 nanti. – UTUSAN










