SAUDARA PENGARANG,
JALAN Kuala Tembeling merupakan jalan utama menghubungkan bandar Jerantut dengan Kuala Lipis di Pahang. Jalan ini semakin sibuk apabila hujung minggu atau cuti umum. Jalan ini juga adalah pintu masuk ke Taman Negara melalui Jeti Kuala Tembeling.
Keadaan jalannya berbukit dan bengkang-bengkok namun berada dalam keadaan baik. Cumanya keadaan jalan di Bukit Timun (Mentimun) perlu diselenggara segera.
Jalan Bukit Timun berada dalam keadaan agak menegak. Jalan ini juga agak sempit. Pemandu kenderaan berat terutamanya perlu berhati-hati apabila mendaki atau menuruni jalan berkenaan. Bahkan, kemalangan acap kali berlaku di sini.
Banyak simen tumpah dan mengeras di jalan ini yang tidak dibersihkan. Keadaan ini menimbulkan kesulitan dan berbahaya kepada kenderaan ketika berada di situ.
Keadaan jalan rosak dan berlubang juga berbahaya kepada pengguna terutamanya kenderaan kecil dan motosikal.
Diharapkan ada tindakan segera membersihkan simen tumpah di jalan tersebut. Jalan yang rosak juga perlu diselenggara. Selain itu, lebih baik lebarkan kaki lima jalan dan sediakan lorong mendaki demi keselamatan pengguna jalan raya.
Semoga pihak bertanggungjawab terutamanya wakil rakyat setempat dapat menyelesaikan masalah ini dengan segera tanpa menunggu pilihan raya akan datang. – UTUSAN
MANOLITO
Pahang










