Saya bukan ahli politik kelas murahan – PM

Saya bukan ahli politik kelas murahan – PM

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: “Soal tohmahan kita jangan mudah untuk meng­hukum. Saya bukan ahli politik kelas murahan begitu rupa.”

Demikian tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika mengulangi pendirian bahawa beliau tidak pernah masuk campur dalam kes mahkamah.

Katanya, be­liau bukan ahli politik yang menggunakan kuasa untuk mendakwa pemimpin lain.

Jus­teru, katanya, pembangkang tidak wajar melontarkan dakwaan liar tanpa mengemukakan bukti menunjukkan beliau mencampuri urusan mah­kamah.

Katanya Anwar, beliau sendiri telah menyampaikan arahan kepada pihak berkaitan untuk mendakwa hanya jika mempu­nyai bukti yang kukuh.

“Ada orang kata mengenai Timbalan Perdana Menteri (Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi). Ya, kes dia masih di mahkamah, saya tidak campur. Boleh tanya Ketua Hakim Negara, boleh tanya Peguam Negara, bila saya campur atau minta dikurang dan ditarik balik pertuduhan?

“Kalau ada tindakan (bukti) jangan hukum saya, jangan guna ayat al Quran untuk hukum saya, katanya saya zalim dan campur tangan. Saya nak bagitahu pimpinan di sana, saudara kena ingat sebagai seorang muslim bertanggungjawab, adakah saudara yakin dan ada bukti bahawa Anwar campur tangan untuk mendakwa sesiapa,” katanya semasa sesi Pertanyaan-Pertanyaan Per­­­dana Menteri (PMQT) di Dewan Rak­yat di sini, semalam.

Beliau menjawab perta­­­nya­an Ahli Parlimen Pasir Mas, Fadhli Shaari yang membangkitkan isu penyiasatan kapal tempur pesisir LCS masih belum terjawab sehingga sekarang.

Dalam sesi tersebut Anwar turut menyatakan siasatan terhadap kes kapal tempur pesisir LCS mesti diteruskan.

“Saya tegaskan di sini bahawa siasatan mesti diteruskan dan termasuk penyiasatan kapal tem­pur pesisir LCS kerana saya rasa tindakan yang sebelum ini tidak cukup untuk membongkar dan bertindak kepada orang-orang yang lebih utama dikatakan terlibat.

“Penyiasatan skandal LCS kita akan teruskan tapi bukan urusan saya, Yang Berhormat Pasir Mas untuk mendalami dan tanya lebih daripada itu. Nanti kalau saya buat begitu, ada lagi tuduhan pendakwaan terpilih,” katanya.

Dalam sesi yang sama, Anwar memberitahu, beliau turut memberitahu SPRM dan Peguam Negara agar jangan meng­aniaya (pendakwaan) de­ngan menyertakan alasan longgar yang boleh dipertikaikan.

“Guna nama agama dan fitnah orang, sebut nama saya. Saya tidak campur. Boleh tanya Suruhanjaya Pencegahan Ra­suah (SPRM) dan Peguam Negara malah arahan kepada mereka adalah apa sahaja tindakan berdasarkan fakta dan bukti kuat, saya sokong tetapi jangan meng­aniaya dan jangan ada satu pun alasan yang longgar, boleh dicabar dan dipertikai.

“Biar siasatan itu diteruskan dan saya ingin mengambil ke­sempatan ini untuk menjelaskan kita cakap soal keadilan, kita tolak kezaliman dan fitnah, jadi jangan hukum orang tanpa bukti,” ujarnya.

Sementara itu, Perdana Men­­teri memberitahu, pembayaran Sumbangan Tunai Rahmah (STR) fasa 2 dijangka diagihkan awal bulan depan sebelum sambutan Aidilfitri.

Katanya, Kementerian Kewangan dan agensi berkaitan sudah dimaklumkan untuk menyegerakan perkara itu bagi memastikan rakyat khususnya kumpulan yang memerlukan menerima bantuan itu.

“Seperti yang disebutkan, STR fasa 1 sudah diedarkan dan sampai kepada rakyat yang berjumlah RM1.6 bilion, itu bulan Januari lalu.

“Saya sudah memberitahu Kementerian Kewangan dan agensi terlibat supaya me­ri­ngankan mereka (golongan memerlukan) dengan bantuan STR Fasa 2 yang harus diselesaikan pada pertengahan Ramadan atau awal April sebelum raya.

“Kita akan keluarkan Fasa ini untuk golongan B40 mendapat STR,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN