Radja Band buat laporan polis, terima ancaman bunuh - Utusan Malaysia

Radja Band buat laporan polis, terima ancaman bunuh

ANGGOTA Radja Band membuat laporan mendakwa menerima ancaman bunuh di Ibu pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kumpulan muzik dari Indonesia, Radja Band membuat laporan polis kerana mendakwa menerima ancaman bunuh selepas mengadakan konsert di Stadium Tertutup Arena Larkin, di sini malam tadi.

Difahamkan, insiden bermula ekoran berlaku salah faham antara pihak penganjur konsert dan band berkenaan sehingga menyebabkan dua lelaki melempar kata-kata kesat dan ancaman bunuh.

Vokalis kumpulan berkenaan, Ian Kasela memberitahu, pihaknya tidak dimaklumkan tentang sesi ‘Meet And Greet’ antara band berkenaan dengan peminat serta beberapa aktiviti lain yang dirancangkan pihak penganjur.

“Kejadian berlaku pada pukul 11.15 malam apabila kami telah dimaki dengan kata-kata kesat. Individu tersebut turut memberikan ugutan bunuh kepada kami sekiranya masih berada di Malaysia.

“Kami rasa agak kecewa kerana telah melakukan yang terbaik untuk konsert dan peminat di sini, malah kami turut meluangkan masa untuk bergambar bersama peminat sewaktu konsert berlangsung.

“Apa yang membimbangkan adalah ada antara kami datang ke sini bersama ahli keluarga termasuk anak-anak kecil. Jadi, perkara itu merisaukan,” katanya, di sini hari ini.

Ian berkata, sekiranya sebarang aktiviti tambahan dibincangkan terlebih dahulu antara penganjur dan pihaknya, mereka tidak mempunyai masalah untuk memberikan kerjasama terbaik.

Pihaknya turut dimaklumkan akan ada sesi bergambar bersama individu kenamaan, namun selepas mereka menunggu di bilik disediakan, tiada pihak yang hadir.

“Sebaliknya, terdapat dua individu yang mendakwa mereka wakil kepada penganjur bertindak agresif dan mencetuskan provokasi dengan menendang meja.

“Jika ikutkan rancangan asal, kami akan hadir semula ke Malaysia untuk membuat persembahan di Kuala Lumpur selepas Ramadan, namun perkara yang berlaku ini telah menyebabkan kami berasa bimbang kerana menerima ancaman bunuh  Kami kecewa dengan pihak penganjur dan ancaman bunuh ini satu perkara yang serius,” katanya sambil memberitahu band tersebut telah membuat laporan polis di Balai Polis Larkin, hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat mengesahkan pihaknya menerima laporan  berkenaan. – UTUSAN

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.