Saya tolak tawaran menyertai syarikat penerbangan demi jadi hos TV - Sarimah Ibrahim - Utusan Malaysia

Saya tolak tawaran menyertai syarikat penerbangan demi jadi hos TV – Sarimah Ibrahim

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Di sebalik penampilan anggun mengenakan busana ala pramugari rekaan Rizman Ruzaini, pelakon dan pengacara, Sarimah Ibrahim, mengimbau kembali detik bagaimana dia menolak tawaran menyertai syarikat penerbangan demi mengejar impian dalam dunia penyiaran.

Sarimah atau Che Puan Sarimah Ibrahim, 48, berkata, dia sebenarnya pernah menerima tawaran untuk bekerja dalam industri penerbangan, tetapi nalurinya ketika itu lebih cenderung untuk memilih kerjaya sebagai hos televisyen.

“Mungkin ramai tak tahu, pada tahun 1997, saya pernah dapat tawaran untuk sertai syarikat penerbangan. Tapi saya tolak sebab mahu jadi hos televisyen.

“Ayah saya pun pernah tegur kenapa saya tak ambil peluang itu sebab dia sendiri bekerja dengan syarikat penerbangan sepanjang hidupnya,” katanya menerusi satu hantaran di Threads miliknya.

Tambah Sarimah yang juga merupakan juri tetap dalam program Talk To My Manager Musim 2 (TTMM2) itu, keputusan tersebut dibuat kerana dia percaya dirinya mampu pergi lebih jauh sekiranya kekal berada dalam bidang yang benar-benar diminatinya.

“Naluri saya waktu itu cakap untuk tunggu kerana berkemungkinan saya boleh terbang lebih tinggi kalau kekal berada di darat.

“Memang kedengaran macam berangan sangat masa itu. Tapi bila saya pakai busana cantik ini, saya dapat rasa semula perasaan-perasaan itu,” katanya.

Perkongsian tersebut dibuat Sarimah selepas tampil menggayakan busana berinspirasikan pramugari hasil rekaan jenama fesyen tempatan, Rizman Ruzaini.

Terdahulu, dia mula mencipta fenomena sebagai hos wanita pertama untuk Disney Channel Asia dan pernah mengendalikan rancangan popular seperti The Sarimah Show di TV3 dan Bella di ntv7.

Untuk rekod, Sarimah Ibrahim memulakan kerjaya sebagai pengacara televisyen sekitar penghujung 1990-an sebelum terus aktif dalam bidang lakonan, pengacaraan dan dunia hiburan tempatan sehingga kini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN