PM: Proses tender projek tebatan banjir disegerakan

PM: Proses tender projek tebatan banjir disegerakan

Anwar Ibrahim (dua dari kanan) melepaskan pasukan sukarelawan penjawat awam pasca banjir ke Johor di Dataran Putrajaya, semalam. Seramai 1,520 orang terlibat dalam misi itu. – UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Proses tender projek tebatan banjir disegerakan sebagai usaha mengurangkan tekanan menghadapi bencana alam untuk tempoh akan datang.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau telah mengarahkan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican untuk menyegerakannya.

Katanya, ia sebagai usaha jangka panjang untuk mengurangkan tekanan menghadapi bencana alam itu untuk tahun-tahun akan datang.

“Langkah-langkah segera lain seperti membeli water jet te­lah dilakukan untuk membantu usaha pasca banjir.

“Kita percaya usaha ini memberi makna cukup besar kepada rakyat di bawah yang menghadapi tekanan,” kata­nya berucap dalam majlis pe­lepasan pasukan sukarelawan penjawat awam pasca banjir ke Johor di sini, semalam.

Menurut Anwar, bantuan sukarelawan penjawat awam itu sebagai sokongan kepada keluarga dan jabatan kerajaan di Johor yang tidak mampu mengendalikan pasca bencana tanpa usaha tambahan.

Jelas beliau, sokongan bantuan penjawat awam itu adalah khidmat secara sukarela me­lebihi tugas hakiki mereka.

“Pasca banjir juga mencabar, jadi tidak mampu keluarga dan jabatan sedia ada di Segamat atau Batu Pahat melainkan ada usaha tambahan.

“Khidmat ini bukan tugas hakiki, ini tugas tambahan, sukarelawan, tugas yang tidak kenal penat lelah.

“Ini satu permulaaan yang baik sebelum Ramadan dan merupakan ibadah yang kita sempurnakan dengan baik, saya doakan moga perjalanan berjalan lancar dalam tempoh dua hari ini,” katanya.

Seramai 1,520 penjawat awam terlibat dalam Pasukan Sukarelawan Perkhidmatan Awam (PSPA) mewakili semua kementerian, jabatan dan agensi kerajaan dengan tum­puan bantuan ke kawasan yang terjejas di daerah Batu Pahat.

Usaha pada kali ini lebih tertumpu kepada aspek pembersihan fasiliti perubatan, pendidikan, bangunan kerajaan serta tempat-tempat awam.

Antara bantuan adalah tenaga kerja pembersihan, sumbangan bakul makanan, alatan pembersihan dan kelengkapan asas persekolahan, penyelenggaraan ken­deraan kecil, baik pulih peralatan elektrik termasuk ker­ja-kerja pendawaian berskala kecil serta khidmat psikologi dan kaunseling.

Sebanyak 153 buah ken­deraan yang terdiri daripada 26 buah bas/ coaster, 16 buah van, lapan buah lori, 64 buah kenderaan pacuan empat roda dan 39 buah kereta digerakkan dalam operasi bantuan kali ini.

Kerajaan melalui Mesyuarat Pasca Kabinet Jabatan Perdana Menteri pada 17 Mac lalu memutuskan supaya PSPA dige­rakkan semula bagi pengurusan pasca banjir di kawasan-kawasan yang terjejas. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN