IPOH: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak peduli tohmahan yang dilemparkan terhadapnya berhubung pendirian dan tindakan tegas kerajaan membendung rasuah.
Anwar menegaskan, beliau juga tidak peduli jika ada tanggapan mendakwa tindakan berhubung rasuah merupakan satu tindakan politik.
Katanya, beliau bersama jemaah menteri dan agensinya serius untuk membendung isu ketirisan wang negara.
“Tidak boleh kita izinkan dana negara, dana negeri, dana bandar raya diambil secara haram untuk memperkayakan segelintir. Tidak mungkin kita izinkan sesiapa tanpa kecuali untuk merasa bebas untuk gondol hak rakyat, dana rakyat dan merasa boleh terlepas.
“Saya nak pastikan hal ini tidak berlaku dan berilah kita kesempatan dalam Kerajaan Perpaduan untuk melaksanakan program bersihkan negara daripada segala keterlanjuran perompak-perompak besar dan kita tumpu sepenuhnya dalam memelihara kepentingan rakyat.
“Saya tak peduli apa yang disebut, ditohmahkan di luar ataupun dianggap ini satu tindakan politik, tidak.
“Percayalah, kawan-kawan saya dalam jemaah menteri ada, timbalan menteri ada, KSU (Ketua Setiausaha) untuk tahu kita serius untuk bangkitkan, pastikan perubahan berlaku,” katanya berucap pada Perasmian Sambutan Hari Landskap Negara di sini, semalam.
Dalam majlis berasingan, Anwar menasihati Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin agar memberi tumpuan terhadap kes mahkamah yang dihadapinya daripada membuat tohmahan kepada kepimpinan Kerajaan Persekutuan.
Beliau berkata, dakwaan Ahli Parlimen Pagoh itu bahawa pendakwaannya satu bentuk pemangsaan politik terancang telah dijawab Jabatan Peguam Negara dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
“Apa lagi dia nak kata, bagi saya dia tumpukan kepada kes mahkamah sajalah. Jawab di mahkamah, pertuduhan pun sudah dikeluarkan,” katanya.
Sementara itu, Perdana Menteri mengulangi pendirian perlunya pembangunan dan pertumbuhan seimbang untuk semua rakyat di negara ini.
Menurutnya, ia antara golongan atasan dan rakyat, antara gedung-gedung mewah dan taman dan kehijauan, antara rumah mahligai dan rumah rakyat dan di antara restoran lima bintang dan warung-warung, gerai dan restoran kecil yang perlu dipelihara dengan semua kemudahan supaya lebih indah dan bersih.
“Kita kenal Kuala Lumpur dengan Twin Tower, KL Tower, dengan semua yang besar-besar tapi gerainya macam tahun 50-an. Jadi perancangan kerajaan nampak memihak satu kelas, saya tidak mahu begitu.
“Kuala Lumpur orang kenal dengan kecemerlangan, keindahan tapi bila lihat landskapnya, kehijauannya, gerai, rakyat warung dan restoran kecil tak setimpal.
“Sebab itu kena perbetulkan dan tidak terlalu lambat supaya kita benar-benar menjaga nilai akhlak, menjaga pendekatan yang lebih adil, barulah jadi contoh kepada manusia lain.
“Di bawah Malaysia Madani, semua rakyat, semua kaum dipelihara diberi pembelaan dan kita mulakan dengan amalan, tindakan dan semua pihak berkuasa tempatan di seluruh negara akan ambil perhatian tentang perkara ini,” katanya.
Sementara itu, Perdana Menteri menjelaskan, cadangan simpanan dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebagai cagaran pinjaman bank hanya untuk individu yang terdesak memerlukan wang segera sahaja. – UTUSAN










